KENYATAAN Perdana Menteri yang berhasrat untuk membawa masuk guru-guru bahasa Inggeris dari Singapura disifatkan sebagai menganatirikan tenaga pengajar di negara ini.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad mempersoalkan, apakah sistem pendidikan negara tidak mampu menghasilkan guru-guru bahasa Inggeris berkualiti sehingga terpaksa mengimport dari luar.
Tindakan ini, jelas beliau, bukan sahaja satu tamparan malah memberi impak kepada sumber negara apabila perlu membayar upah yang terlalu tinggi untuk seorang tenaga pengajar.
“Kita masih lagi berfikiran kolonial maka kita mengagung-agungkan bahasa Inggeris, adakah pemimpin kita masih berminda kolonial, adakah pegawai tinggi dalam kementerian berminda kolonial.
“Dalam soal ini jawapannya ya, masih ramai lagi mereka ini yang berminda kolonial maka mereka tak dapat nak bezakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedaulatan dan bahasa Inggeris yang ada kepentingan sendiri.
“Kenapa kita tidak berbalik kepada usaha-usaha yang sudah dibuat dahulu, kenapa perlu menagih dari negara jiran, bayar pula gaji ikut gred Singapura yang jauh lebih tinggi,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Baca artikel lain: Faisal Halim sanggup hilang gaji berpuluh ribu, asalkan diri dan keluarga selamat
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara.
Katanya, perkara itu disentuh beliau dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong di Seri Perdana.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berpendapat, orang Melayu perlu bersikap perkauman dalam usaha membela untung nasib bahasa mereka sendiri.
Jelasnya, bahasa Melayu ini adalah bahasa negara dan digunakan untuk menyatupadukan rakyat namun jika ia tidak dibela serta dipelihara siapa lagi yang boleh diharap bagi menjalankan tugas tersebut.
“Saya tidak faham mengapa nak apologetik dalam soal ini dan sentiasa tunduk pada kehendak-kehendak sebegini, dan kita selalu cakap ini bukan perkauman.
“Saya nak sebutkan orang Melayu kena bersikap perkauman mempertahankan hak mereka sebab bahasa Melayu ini bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa negara, bahasa kebangsaan.
“Kalau tuan-tuan tak pertahankan, tuan-tuan nak harapkan siapa untuk pertahankan bahasa Melayu ini,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

