MANA-mana individu yang tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi itu boleh dipohon melalui pejabat kesihatan daerah (PKD) dengan mengemukakan borang khas iaitu Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin COVID-19 bagi Pesakit dengan Masalah Kesihatan Terentu yang telah disahkan pakar perubatan.
Kata beliau, individu yang tidak boleh menerima vaksin boleh mendapat pengesahan sama ada daripada pakar perubatan di hospital swasta yang merawatnya selain pakar perubatan atau pegawai perubatan yang merawat semasa ketiadaan pakar perubatan di hospital kerajaan berpakar.
Selain itu, Khairy berkata, individu tersebut juga boleh mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan.
“Individu tersebut perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawatnya.
“Jika permohonan lengkap dan mengikuti syarat yang telah ditetapkan, sijil digital tersebut akan diperolehi melalui MySejahtera dalam tempoh satu minggu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berhubung alternatif yang tersedia buat individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor-faktor berkaitan kemudaratan kesihatan dan pewujudan dokumentasi yang dikhususkan bagi golongan tersebut untuk tujuan pergerakan fizikal.
Baca artikel berkaitan: Hampir 88 peratus dewasa lengkap vaksin, 20.621 juta individu
Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan, mana-mana individu yang tidak boleh menerima vaksin itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat kerana lebih berisiko mendapat jangkitan COVID-19.
“Pakar perubatan akan menasihatkan pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian selaras dalam garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk vaksinasi COVID-19.
“Sebagai contoh, jika seseorang menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan.
“Sekiranya individu tersebut disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin atas sebab-sebab perubatan, mereka perlu mematuhi SOP dengan ketat secara kendiri seperti memakai pelitup muka, pastikan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan lain-lain,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

