ANALISIS

MASIHKAH kita ingat pada 11 September lalu, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika mengesahkan pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengemukakan 20 cadangan untuk transformasi Parlimen.

Antaranya Ahli Parlimen Pontian mencadangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketiga diwujudkan dan dikhususkan kepada wakil pembangkang. Terdapat 19 lagi cadangan yang membuktikan kesungguhan beliau untuk menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bagaimanapun hari ini, Ahmad Maslan menarik diri daripada pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Kata beliau, faktor utama keputusan itu dibuat adalah bagi membolehkannya menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja sebagai Setiausaha Agung UMNO, lebih-lebih lagi dalam suasana  politik mencabar ketika ini, selain mahukan lebih banyak ruang untuk mengutarakan pandangan di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen.

“Saya suka memberikan pandangan, kalau saya duduk di kerusi timbalan speaker itu saya nak cakap apa, suruh orang duduk, suruh orang keluar, jadi fungsi saya yang aktif itu tidak dapat saya teruskan. Lagipun dari mula hari itu Perdana Menteri yang cadang nama saya bukan saya melobi,” katanya.

Walaupun politik negara sebenarnya sudah lama mencabar sejak selepas PRU-14 tetapi mungkin Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO pada 19 Mac 2020 mulai sedar rupanya beliau perlu menumpu perhatian kepada tugas-tugas tersebut.

Justeru ramai ‘kagum’ apabila beliau dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang kata Ahmad Maslan hari ini, ‘’Perdana Menteri yang cadang nama saya bukan saya melobi.’’

Apapun sebenarnya Ahmad Maslan membuat tindakan bijak menarik diri kerana kalaupun beliau dicalonkan belum tentu akan menang memandangkan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan memberi sokongan.

Ahmad Maslan menyedari hakikat itu walaupun sebelum ini dilihat masih menaruh harapan selepas pada 29 September lalu beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.

Pada minggu lalu, Ahmad Maslan berkata, ‘’ Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 14 hari Dewan Rakyat bersidang. Bagi sesi seterusnya Dewan Rakyat akan bersidang pada 25 Oktober.

“Maka saya ada tempoh 10 hari untuk berfikir dan berbincang tentang perkara itu. Tunggu sedikit masa lagi untuk saya berbincang bagi mendapatkan kata putus berhubung pencalonan jawatan Timbalan Speaker.’’

Beliau juga percaya masih ada ruang perbincangan bagi membolehkannya mengisi kekosongan jawatan itu walaupun sebelum ini pencalonannya ditolak Ahli Parlimen Bersatu.

Tetapi apabila PN sekali lagi menegaskan mereka tidak akan mencalonkan Ahmad Maslan walaupun beliau dibebaskan oleh mahkamah, Ahli Parlimen Pontian itu memahami harapannya sudah berkubur.

PN mahupun Bersatu tidak ada masalah jika UMNO mahu mencalonkan orang lain asalkan bukan ‘geng 15 Ahli Parlimen’ yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga Kerajaan PN tumbang…dan Ahmad Maslan salah seorang daripadanya.

Mungkin beliau terfikir ‘’buat apa nak mencalonkan diri, kalau sebut namapun dah kalah.’’  – lebih baik beliau tumpu kepada kerja parti dan memberikan pandangan di Parlimen..