KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk mewajibkan pelaksanaan saringan ujian kendiri kepada individu yang mahu merentas negeri.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut telah pun dikaji, namun disifatkan sangat mustahil untuk memastikannya dilaksanakan dengan sewajarnya.
Kata beliau, kebenaran untuk aktiviti rentas negeri nanti bukan seperti gelembung pelancongan domestik ke Langkawi yang mana jumlahnya masih boleh dikawal.
Khairy berkata, rakyat akan lebih marah sekiranya sekatan jalan raya (SJR) dilakukan selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan hanya untuk memeriksa sijil vaksinasi dan melakukan ujian kendiri.
“Takkan kita nak adakan SJR dan periksa setiap orang yang keluar, kalau tak divaksinasi kita minta mereka buat ujian di situ.
“Rakyat akan lebih marah kalau berlaku kesesakan kerana mereka dah tunggu lama untuk balik ke kampung, tiba-tiba ada SJR di mana setiap orang diperiksa untuk tunjuk sijil vaksinasi dan buat ujian kendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kekal disiplin, Delta terus dikesan ketika ramai bilang hari untuk rentas negeri
Mengulas lanjut, Khairy bagaimanapun berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan tetap dikuatkuasakan sepenuhnya.
Malah, beliau turut memaklumkan telah meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus melaksanakan Op Patuh bagi memastikan SOP terus dipatuhi.
Menurut Khairy, golongan yang belum divaksinasi tidak akan diberi kebebasan mengikut kepada SOP sedia ada.
“Saya akui tiada cara untuk mengawal pergerakan mereka yang belum divaksinasi, kita takkan adakan SJR lagi tetapi jika mereka merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tak akan diberi kebebasan sedemikian. Itu cara kita kuatkuasakan SOP sedia ada.
“Kita tak mahu terlalu banyak SOP dalam hal rentas negeri sebab ramai yang dah tunggu lama.
“Kita dah sampai tahap 90 peratus daripada penduduk dewasa menerima vaksin, sekarang ini hanyalah kawalan kendiri, pemerkasaan individu dan komuniti sahaja,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

