VARIAN Delta yang kali pertama dikesan di India telah menyebabkan satu dunia berdepan peningkatan semula kes baharu COVID-19.
Ini termasuk di rantau Asia Tenggara dengan Singapura misalnya, sudah kembali mencatatkan penularan harian pada ribuan kes sejak beberapa hari lalu.
Malaysia juga tidak terkecuali dan dalam keterujaan menanti kebenaran rentas negeri yang dijangka beberapa hari lagi, varian Delta terus menjadi satu perkara yang semua perlu berhati-hati.
Sebanyak 384 kes positif COVID-19 daripada varian Delta yang mudah merebak itu telah dikesan di negara ini dalam tempoh bagi 25 September hingga semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya 392 kes positif COVID-19 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) dikesan dengan lapan lagi adalah Beta.
Selangor merekodkan kes positif daripada varian Delta yang tertinggi dengan 109 kes.
Katanya, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian bawah pemerhatian (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes.
“Secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 1,996 kes varian Delta, 222 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha berada dalam kategori VOC,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.

Menurutnya, kajian mutasi ‘Spike Protein COVID-19’ di Malaysia itu dijalankan enam konsortium iaitu Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM), Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara.
Baca artikel berkaitan: 45 juta dos telah diberi, 88.8 peratus dewasa lengkap divaksin
Khairy saran buat ujian saringan Covid-19 lebih kerap bila rentas negeri dibenarkan
Turut terlibat ialah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika UM (TIDREC-UM), Institut Genom Malaysia dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
VUM terdiri daripada Theta, Kappa dan Eta selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 30 Sept lepas meletakkannya dalam varian itu. Sebelum ini, ketiga-tiganya dikategorikan sebagai VOI.
Kini, hanya Lamba (C.37) dan Mu (B.1.621) dikategorikan sebagai VOI.
Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan, Noor Hisham berkata, seperti diketahui, larangan rentas negeri akan ditarik balik dalam tempoh beberapa hari lagi.
Ini sejajar dengan kadar vaksinasi dewasa yang semakin menghampiri angka 90 peratus.
Sehubungan itu, Noor Hisham mengingatkan rakyat Malaysia yang sudah lengkap vaksin untuk terus kekal berdisiplin mengamalkan kawalan kendiri.
“Demi orang tersayang, lakukanlah ujian COVID-19 secara berkala sekali gus dapat memutuskan rantaian penularan selain memastikan jangkitan baharu pada angka yang rendah,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

