Divisyen Tol IJM sumbang peralatan perubatan kepada Hospital Ampang

Dari Penulis

MENYEDARI kepentingan peralatan bantuan perubatan sewaktu pandemik Covid-19 melanda, pihak pengurusan Divisyen Tol IJM, pengendali syarikat konsesi Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) menyumbangkan peralatan keperluan perubatan bernilai RM86,000 kepada Hospital Ampang untuk kegunaan para petugas kesihatan serta pesakit yang dirawat di hospital tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff berkata: “Kami amat prihatin terhadap keperluan petugas barisan hadapan dan berharap inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang kami jalankan ini dapat serba sedikit membantu meringankan beban pihak hospital serta pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di sana.”

Beliau berkata, sumbangan itu juga merupakan salah satu cabang bantuan Kumpulan IJM berbentuk peralatan perubatan bagi membantu petugas barisan hadapan dan sistem kesihatan dalam membendung penularan virus Covid-19 di negara ini.

Antara peralatan yang disumbangkan adalah 10 set Powered Air Purifying Respirator (PAPR)) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Jabatan Kecemasan dan Trauma sebagai perlindungan dari dijangkiti virus Covid-19 dan 10 set Continuous Positive Airway Pressure (CPAP), Boussignac Full Emergency Kit untuk kegunaan pesakit Covid-19.

“Kami di IJM sebagai sebuah konglomerat sangat komited dalam meneruskan misi menghulurkan bantuan bagi mereka yang terjejas dan memerlukan bantuan sewaktu pandemik ini melanda. Usaha ini juga bagi membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 serta menuju ke arah fasa pemulihan negara,” tambah Wan Salwani dalam kenyataan akhbar.

Divisyen Tol IJM, yang merupakan anak syarikat IJM Corporation Berhad juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan seperti “IJM Food Bank” untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat penularan pandemik ini. Kumpulan IJM juga secara konsisten telah melabur dalam misi bantuan Covid-19 melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang diterajui oleh pelbagai divisyen di syarikat tersebut. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

200 penerima STR dapat ganjaran Kempen BSN SSP, BSN GIRO-i 2025

SERAMAI 200 pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN), terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memenangi pelbagai hadiah menarik dan...

More Articles Like This