Polis ambil keterangan ‘Datuk Seri’, peguam yang palsukan dokumen guna nama TMJ

Dari Penulis

POLIS telah mengambil keterangan seorang wanita didakwa ‘Datuk Seri’ dan seorang peguam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan dokumen surat aku janji, bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing dengan menggunakan nama Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya ketika ini sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam siasatan terbabit, untuk diambil keterangan.

“Kita sudah ambil keterangan dua individu setakat ini dan sedang memerika dokumen-dokumen dan  akaun yang terlibat dalam kes ini.

“Orang ramai jangan terpengaruh dengan komen dalam media sosial yang bermacam-macam dakwaan berkaitan kes ini. Biar polis menjalankan  siasatan yang lengkap dan selesai ambil keterangan…kalau cukup bukti kita akan tuduh,” katanya pada sidang media ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes berkenaan di Johor Bahru, hari ini.

Ketika ditanya sekiranya kes berkenaan mempunyai unsur politik, Ayob Khan berkata siasatan akan dilakukan terlebih dahulu.

Pada dua hari lepas (8 Okt), Ayob Khan berkata siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan susulan laporan polis yang diterima pihaknya daripada Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor pada 7 Okt.

BERITA BERKAITAN ‘Datuk Seri’ tipu dokumen guna nama TMJ – Ayob Khan

Beliau berkata, laporan itu menyatakan wanita tempatan mendakwa, menerima mandat daripada Tunku Ismail untuk menjalankan urusan pertukaran mata wang 200 bilion dolar Amerika Syarikat sehingga 5 trilion Dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia, manakala peguam terbabit pula merupakan proksi berkaitan dokumen berkenaan.

Sementara itu dalam satu kes berlainan, Ayob Khan berkata pihaknya mengambil keterangan seorang lelaki kerana memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Institusi Diraja Johor, menerusi akaun Twitter pada Jumaat (8 Okt).

Ayob Khan berkata lelaki berusia 42 tahun yang bekerja mengecat kenderaan secara sambilan itu, diambil keterangan selepas ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor pada pukul 9.25 malam di rumahnya di Ulu Tiram, di sini.

Katanya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor pada pukul 2.03 petang, hari sama.

Menurutnya, lelaki berkenaan memuatnaik komen berunsur penghinaan itu menerusi akaun Twitter miliknya ‘zion74rey@reymizion74’.

“Kita menahan individu ini untuk diambil keterangan, lengkap kertas siasatan kita akan serah kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Ayob Khan berkata hasil semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan ceroboh dan khianat.

Beliau berkata,kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

El Nino: Kerajaan perketat kawalan jerebu, pembenihan awan siap digerak

KERAJAAN memperketat langkah pencegahan jerebu dan kebakaran terbuka susulan jangkaan cuaca panas serta kering akibat fenomena El Nino. Kementerian Sumber...

More Articles Like This