KEPUTUSAN untuk mendakwa aktivis, Tamim Dahri perlu dijelaskan dengan lebih terperinci kepada umum.
Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, hal itu supaya tidak timbul keraguan bahawa tindakan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, selektif, atau dipengaruhi oleh pertimbangan yang tidak selari dengan prinsip keadilan.
Justeru, katanya, keputusan untuk mendakwa Tamim wajar dinilai semula secara teliti berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan, dan kepentingan awam.
Zainul Rijal berkata, dalam mana-mana sistem perundangan yang menjunjung kedaulatan undang-undang, pendakwaan tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan yang tergesa-gesa atau dipengaruhi oleh pertimbangan selain daripada fakta, keterangan, dan peruntukan undang-undang yang jelas.
“Kuasa untuk mendakwa adalah suatu kuasa yang sangat besar dan mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Prinsip asas dalam undang-undang jenayah menuntut bahawa pendakwaan hanya boleh dibuat apabila terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, serta apabila pendakwaan tersebut benar-benar selaras dengan kepentingan keadilan awam,” katanya.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, sekiranya terdapat unsur ketidakkonsistenan dalam tindakan pendakwaan, layanan yang berbeza terhadap kes yang serupa, atau kegagalan mengambil kira keseluruhan keadaan fakta, maka keadaan tersebut boleh menimbulkan persepsi bahawa proses undang-undang sedang digunakan secara selektif.
Katanya, persepsi sedemikian, walaupun belum tentu benar, boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti institusi pendakwaan dan sistem keadilan jenayah secara keseluruhannya.
“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa kritikan terhadap sesuatu keputusan pendakwaan bukanlah bermaksud mencabar institusi perundangan, tetapi merupakan sebahagian daripada semak dan imbang yang sihat dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Ketelusan, akauntabiliti, dan kesaksamaan di sisi undang-undang hendaklah sentiasa menjadi asas dalam setiap keputusan untuk mendakwa mana-mana individu.
“Adakah maklumat polis mereka telah berada di Thailand betul? Saya meraguinya,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

