KERAJAAN memerlukan dana tambahan sebanyak RM45 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), selepas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memohon tambahan peruntukan dari RM65 bilion kepada RM110 bilion di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memerlukan peruntukan tambahan selepas dana KWC tinggal berbaki lagi RM5 bilion daripada jumlah RM65 bilion yang diperuntukkan pada tahun lalu.
Katanya, rang undang-undang yang pertama meluluskan peruntukan bernilai RM45 bilion pada September 2020, disusuli pindaan had siling daripada RM45 bilion kepada RM65 bilion pada Disember 2020.
“Had siling yang ditingkatkan pada waktu itu bertujuan untuk membiayai empat pakej pertama, iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin serta sebahagian dari langkah Belanjawan 2021,” katanya di Dewan Rakyat.
Jelasnya, peruntukan COVID-19 tersebut banyak disalurkan menerusi program bantuan dan pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan sejak awal tahun ini selepas negara masih bergelut dengan penularan COVID-19 yang menyaksikan majoriti rakyat terjejas punca pendapatan mereka.
“Sebagai langkah segera dan proaktif, kerajaan telah melaksanakan empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi iaitu Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih bagi mengurangkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu.
“Keempat-empat pakej tersebut memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion,” katanya memetik laporan Agendadaily.
Justeru, beliau berkata pindaan rang undang-undang dan peningkatan had hutang statutori adalah penting bagi memenuhi komitmen tersebut, serta untuk membiayai langkah yang seterusnya bagi tahun ini dan 2022 dalam memastikan momentum pemulihan negara dapat diteruskan.
“Ingin saya menekankan bahawa berdasarkan kedudukan semasa KWC, Kementerian Kewangan mengunjurkan bahawa peruntukan tahun ini tidak mencukupi untuk membiayai pakej-pakej tersebut,” katanya lagi.
Menurut Zafrul lagi, baki siling yang tinggal kini berjumlah RM5 bilion dan memerlukan dana tambahan untuk menampung pakej bantuan yang dirancang kerajaan.
“Ini adalah kerana sejumlah RM60 bilion telah dibelanjakan dan baki siling setakat hujung September 2021 adalah berjumlah RM5 bilion sahaja.
“Mengambil kira keperluan tambahan tersebut, serta prestasi ekonomi dan had statutori hutang bagi tahun ini dan 2022, adalah wajar supaya Akta 830 dipinda untuk menampung peningkatan had siling KWC kepada RM110 bilion,” katanya lagi.
Tambahnya, cadangan itu melibatkan pindaan Akta 830 supaya had statutori hutang ditingkatkan kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 60 peratus sebelum ini serta pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Namun, dalam jangka masa sederhana, kerajaan masih komited terhadap langkah konsolidasi fiskal yang digariskan di bawah RMK12 dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus berbanding KDNK menjelang 2025,” katanya. – UtusanTV

