Penulis adalah peminat tegar filem komedi Tan Sri P.Ramlee. Sejak kecil, penulis bukan sahaja gemar meniru gaya lakonan beliau tetapi bila sudah dewasa petikan dialog filem beliau seringkali digunakan dalam pelbagai ceramah serta sembang jenaka.

Bagi penulis, kesemua dialog dan adegan lakonan filem-filem beliau sarat dengan pengajaran yang bersifat evergreen iaitu sesuai digunakan sepanjang zaman.

Situasi politik sejak PRU-14 membolehkan pelbagai dialog dan adegan dalam filem-filem P. Ramlee adalah bertepatan dengan situasi dan gelagat politik hari ini. Walau bagaimanapun, penulis hanya memetik filem Ali Baba Bujang Lapok yang diterbitkan pada tahun 1961 yang pada pandangan penulis mempunyai pelbagai nilai moral dan keserasian situasi politik masa kini.

Kekalutan politik hari ini telah digambarkan oleh P. Ramlee dalam beberapa adegan penting komedi filem tersebut. Antara yang utama ialah tanda pangkah yang silap sehingga kumpulan penyamun tertipu, bagaimana penyangak dan penyamun cuba mengena satu sama lain, ah pek Cina yang untung dalam perbalahan sesama penyamun dan adik-beradik sendiri tidak berbaik satu sama lain.

Suasana panas politik hari ini tidak lari daripada semua adegan Ali Baba Bujang Lapok. Adegan tersalah pangkah yang membawa padah ini memang tepat terkena ke batang hidung pengundi sendiri terutama orang Melayu.

Akibat tersalah memangkah calon pilihanraya dan emosi mengatasi pertimbangan akal, hari ini kita berserabut dengan perangai wakil rakyat yang kelihatan gagal memainkan peranan sebagai wakil rakyat yang berkesan.

Ramai orang mahu menjadi wakil rakyat tetapi belum tentu mereka mampu memimpin rakyat setelah menang pilihanraya. Sepertimana kata seorang sahabat penulis tatkala penulis meminta nasihat beliau ketika ditawarkan sebuah parti untuk bertanding dalam PRU-14 yang lalu.

Beliau berkata modal paling senang dalam kempen pilihanraya ialah pandai berjanji (termasuk menipu). Maka pasti akan menang. Samalah dalam PRU yang lalu, tangkap muat pun boleh menang sebagai wakil rakyat.

Apatah lagi mood kemarahan yang mendalam pengundi waktu itu menyebabkan pengundi sendiri tersalah pangkah memilih pemimpin yang tidak berkualiti dan berkesan. Maka terimalah padahnya yang amat busuk seperti adegan penyamun tertipu dengan pangkah tandas.

Tindakan ahli politik yang menimbulkan kucar-kacir sekarang bermodalkan kononnya mereka bertindak sedemikian adalah demi rakyat, sepatutnya bukanlah boleh diperbodohkan kita lagi.

Kita sepatutnya tidak seperti kata orang Perak iaitu tengin (terlalu bodoh) kerana kisah mereka hakikatnya ialah perebutan kuasa dan harta seperti Pasir di Melaka dan kayu balak di sebuah negeri di utara Semenanjung ketika ini.

Al-maklumlah bahawa mereka tahu tentang nasib kemenangan parti mereka yang belum pasti menang pada PRU akan datang. Jadi ketika berkuasa inilah mereka perlu menyapu apa yang patut.

Maka terjadilah sapu menyapu antara penyamun yang seperti digambarkan antara watak Ali Baba (Aziz Satar), Kasim Baba (S. Samsudin)  dan ketua kumpulan penyamun (P. Ramlee).

Sikap tamak mereka juga digambarkan sehingga kelihatan tidak kenyang-kenyang dengan harta yang ada.

Lebih teruk lagi, orang kaya segera ini juga menabur duit kekayaan mereka untuk kelihatan kaya, kuat dan berpengaruh kepada orang miskin seperti adegan Alibaba menabur wang emas kepada golongan pengemis.

Maka begitulah sebahagian besar kita tertipu dengan hadiah yang tidak seberapa ketika musim pilihanraya untuk terus memangkah mereka yang ternyata tidak membawa pembangunan sebenar kepada pengundi.

Apa yang nyata juga ialah perangai dan gelagat ah pek Cina yang mendapat keuntungan wang emas kerana menjahit mayat Kasim Baba yang sudah berkecai dibunuh kumpulan penyamun.

Tukang jahit kasut sanggup melakukan apa sahaja walaupun matanya diikat dengan helah oleh Marjina dan menjahit mayat yang ngeri, demi mendapat habuan dan keuntungan, beliau sanggup melakukan itu semua.

Inilah yang berlaku di tengah perebutan kuasa dan harta orang politik sekarang. Nama-nama seperti Jho Low dan banyak lagi akan muncul dalam semua krisis kuasa dan harta orang politik.

Begitulah juga masalah perbezaan aliran dan persefahaman sesama adik-beradik dalam keluarga yang berlaku di peringkat awal cerita iaitu antara Ali Baba dan Kasim Baba. Sifat busuk hati dan irihati menyebabkan Kasim Baba tidak mahu kalah dengan kekayaan Alibaba. Akhirnya Kasim Baba yang tamak juga terkorban.

Oleh itu, sebagai rumusan kepada kisah Ali Baba Bujang Lapok dan kaitannya dengan situasi politik hari ini ialah rakyat Malaysia terutama pengundi perlu bijak memilih wakil rakyat kali ini iaitu mereka yang benar-benar boleh memimpin dan memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat. Tersalah pangkah bererti tersalah pilih. Maka rosak binasalah kita semua.

PRU-15 adalah masa untuk kita melakukan perubahan total (total change) kerana negara sudah rosak teruk (total damaged). Orang Melayu khususnya perlu bertindak secara strategik seperti yang dilakukan oleh kaum lain.

Kita sudah tidak boleh diomongkan lagi dengan janji “demi bangsa”, “demi rakyat” dan diumpankan dengan beras sekampit beserta telur sepapan, bersama tepung, gula dan paket kopi atau teh dalam kotak makanan. Ini kerana harga undi kita kali ini tidak boleh diperjudikan dengan ole-ole murahan tersebut.

Berdasarkan kajian rambang penulis sendiri, jika kelayakan pengundi automatik diperkenalkan dalam PRU-15 dan pengenalan pengundi 18 tahun, 22 juta pengundi Malaysia sangat rumit untuk dikuasai dalam PRU-15.

Apakah kerajaan yang ada sekarang mampu menarik sokongan generasi muda yang akan mendominasi pengundian? Mood yang ada sekarang seolah-olah menggambarkan sebaliknya kerana pengundi 18 tahun diyakini tidak mengundi parti pemerintah sekarang.

Pengundi muda yang berumur 24 tahun ke atas ada yang menyokong tetapi tidak sampai 40 peratus. Manakala penyokong tegar dewasa dan veteran pula didapati sudah  tawar hati dan akan  lari perlahan-lahan atau malas keluar mengundi nanti.

Apapun semua pihak mengakui kehebatan P. Ramlee untuk menggambarkan politik cacar-marba, tonggang terbalik hari ini seperti juga filem Keluarga 69 suatu masa dulu. Parti-parti Melayu yang bercakar datangnya daripada keluarga dan DNA yang sama.

Apakah kita mahu membiarkan negara kita terus hancur disebabkan watak-watak dalam kisah Ali Baba Bujang Lapok akan terus berkuasa pada masa depan?

 Penulis akhiri dengan pantun berikut:

Sedap memakan buah rambutan,

Sedap lagi buah pulasan,

Kuasa dan harta jadi rebutan,

Demi rakyat hanyalah alasan.

Jangan tersalah memangkah calon wakil rakyat lagi kerana dalam adegan cerita Ali Baba Bujang Lapok, tersalah pangkah, maka dapatlah najis.

*Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.