KOTA Melaka sudah roboh. Tetapi haruskah papan di Jawa didirikan? Sukar juga hendak mentakrif dan mempraktik pantun Melayu ini. Bukan sahaja Pulau Jawa itu jauh, tetapi adakah papan itu sekuat kota?

Kerajaan negeri Melaka tumbang apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effendi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) mungkin menduga seiring penarikan sokongan, kerajaan negeri akan bertukar. Tetapi ini tidak berlaku.

Idris dikatakan akan dicalon sebagai ketua menteri seandainya perubahan berlaku, jawatan yang beliau sandang sebelum Melaka tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 tahun 2018.

Ketika itu Adly Zahari daripada Amanah dilantik ketua menteri. Beliau sendiri kemudian tumbang apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020 yang mengakibatan penjajaran semula politik apabila Bersatu menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH).

Insiden yang berlaku pada 4 Oktober 2021 menyaksikan harapan empat sekawan dan PH bagi peralihan kerajaan tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam, membubarkan DUN Melaka, membuka laluan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Adly Zahari selaku jurucakap PH beranggapan tindakan membubarkan DUN sebagai terburu-buru. Mereka juga beranggapan Sulaiman sebagai ketua menteri yang sudah hilang majoriti tidak berada dalam kedudukan menasihati Yang di-Pertua Negeri membubarkan DUN.

Mereka mengharapkan Mohd Ali terlebiuh dahulu berbincang dan mendengar pandangan daripada majoriti ADUN yang tidak bersama rakyat. Khabarnya keputusan ini akan dicabar di mahkamah, selain petisyen dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong agar PRN tidak diadakan dalam siatuasi pandemik Covid-19.

UMNO yang pada mulanya ghairah mahu DUN dibubar dan mengembalikan mandat kepada rakyat pun tiba-tiba nampak hilang semangat. Alasan tersurat ialah bimbang padah PRN dalam suasana pendemik. Jadi kenapa nasihat bubarkan DUN?

Ada pula yang membaca semangat kendur didorong sebab tersirat. Mungkin kerana belum cukup yakin akan menang, ditambah dengan bimbang kemungkinan rakyat Melaka marah dengan kemelut politik yang berlaku. Ini boleh memberi kesan negatif kepada parti itu.

Lalu apakah pengakhiran kemelut politik Melaka? Memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kabinet akan menetukan langkah seterusnya selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong minggu hadapan.

Katanya, baginda perlu mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk Peguam Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi membolehkan baginda membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan muktamad.

Sebenarnya sudah ada dahuluan atau precedent sebelum ini di mana DUN dibubarkan apabila ketua menteri tercabar. Pada 1987, Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud (kini Tun dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak) menasihati Yang di-Pertua Negeri Sarawak membubar DUN.

Ini ekoran kelompok yang bersatu dengan bekas ketua menteri juga bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Yaakob mahu menggulingkannya. Gerakan ini dikenali sebagai Peristiwa Ming Court, sempena nama Hotel Ming Court, Kuala Lumpur, di mana perancangan menjatuhkan Taib diadakan.

BERITA BERKAITAN PRN Melaka: Kabinet buat keputusan minggu depan

September tahun lalu (2020), DUN Sabah dibubarkan dan PRN diadakan dalam keadaan negara, dan Sabah khususnya sedang mengalami gelombang kencang Covid-19. Sudah menjadi sejarah igauan ngeri yang terpaksa ditanggung akibat PRN ini.

Sabah sedang ‘tenat’ ketika itu. Keluar masuk pemimpin politik dari Semenanjung ke Sabah dan sebaliknya serta berkumpul ramai keana berkempen, menyaksikan jangkitan melonjak. Dari tarikh pembuangan undi pada 26 September hingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang jangkitan pada 12 Oktober, kes Covid-19 melonjak sehingga 70 peratus.

Tidakkah ini wajar menjadi iktibar risiko tinggi mengadakan PRN? Sekalipun jumlah mereka yang memperoleh dua suntikan lengkap vaksin Covid-19 semakin menghampiri 90 peratus yang merupakan sasaran imuniti kelompok, ia bukan menjadikan semua kebal. Tidak takutkah apa yang berlaku di Sabah akan berlaku di Melaka?

Yang di-Pertuan Agong sudah berkali-kali bertitah agar kurangkan berpolitik dalam suasana Covid-19. Sebaliknya semua pihak hendaklah bekerjasama mengekang pandemik dan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat. Namun hanya sekejap sahaja titah nasihat baginda ini dipatuhi! – UtusanTV

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.