UMNO akan meletakkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ia selepas penarikan diri Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi jawatan berkenaan, Khamis lalu.

Pengumuman mengenai pencalonan Ramli itu dimaklumkan Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO menerusi ciapan di Twitter miliknya hari ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju agar Ramli dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Ini suatu sejarah sebagai Orang Asli pertama yang dicalonkan.

“Hari ini hari terakhir untuk cadangan nama sebelum Sidang Parlimen pada 25 Oktober 2021,” katanya dalam ciapan itu.

Sementara itu, Ramli dalam pesanan aplikasi WhatsApp kepada UtusanTV enggan memberikan komen berhubung perkara tersebut.

“Saya tak mahu komen apa-apa lagi buat masa ini,” katanya ringkas.

Baca artikel berkaitan: Kalau sebut namapun ‘dah kalah’, lebih baik Ahmad Maslan tarik diri

Sebelum ini, nama Ahmad disebut-sebut sebagai calon untuk dipilih sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan 23 ogos lalu.

Pencalonan Ahmad sebagai calon tunggal itu dicadangkan Ismail Sabri.

Namun begitu, Khamis lalu, Ahmad mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan berkenaan.

Ahmad berkata, pendirian itu dibuat bagi menumpukan usaha dan perhatian kepada jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

“Saya telah memaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selain berjumpa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengenai keputusan ini.

“Perdana Menteri tentu akan menamakan calon lain dan tempohnya dalam sehari dua ini bagi memenuhi syarat 14 hari dikenakan, sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 25 Oktober depan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram