PERMOHONAN Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ingin kembali menyertai UMNO perlu dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terlebih dahulu.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan mengenai penyertaan semula ahli Bersatu adalah urusan MKT kerana membabitkan keputusan dasar parti.
“Jika ada permohonan daripada ahli-ahli Bersatu untuk masuk kembali ke UMNO, keputusan akhir perlu dibuat oleh MKT.
“Saya ingin tegaskan ini ialah isu nasional yang melibatkan dasar dan kedudukan ahli-ahli parti. MKT akan dijadualkan pada Khamis depan (26 Februari). Saya akan membawa isu ini dalam MKT.
“Bagaimanapun, UMNO tegas memperkukuh kedudukan parti berlandaskan kekuatan sendiri dan bukan atas kelemahan orang lain,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Baca artikel lain: Tempoh perkhidmatan PM 10 tahun akan bermula daripada Anwar
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan Siap Kerja Program Rumah Sejahtera Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Kampung Baru Parit Lapis Sayang, Benut, hari ini.
Pada Khamis, UMNO Johor menyeru ahli Bersatu negeri itu kembali kepada wadah asal perjuangan Melayu susulan krisis dalaman parti itu sehingga menyebabkan 11 bahagian mengumumkan pembubaran pada Rabu.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, seruan itu sejajar dengan gagasan Rumah Bangsa yang digagaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menghimpunkan semula kekuatan Melayu di bawah satu kepimpinan yang stabil dan diyakini rakyat.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, kedudukan Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat masih menjadi tanda tanya selepas beberapa pemimpin dipecat daripada parti masing-masing.
Beliau menjelaskan, keputusan mengenai siapa yang akan memegang jawatan tersebut adalah hak parti masing-masing dan pihak kerajaan tidak boleh campur tangan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

