Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Facebook MKN

ORANG ramai diingatkan supaya terus mempunyai disiplin dan kepatuhan sosial terhadap prosedur operasi standard (SOP) menjelang hujung minggu pertama selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan negara masih lagi belum ‘menang sepenuhnya’ dengan kelonggaran rentas negeri akan menyaksikan kita bertempur di ‘medan perang’ baharu dengan strategi baharu.

Kata beliau, Malaysia hanya boleh menang jika semua pihak memainkan peranan masing-masing mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan kerajaan.

Dr. Noor Hisham turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak di Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah bekerjasama mengawal penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Menurut beliau, KKM sudah meletakkan prinsip panduan jelas dalam menghadapi wabak itu dan kini tanggungjawab terletak pada bahu semua pihak untuk melaksanakannya.

“Kita sudah berjaya sejauh ini bagi mengelakkan bencana nasional seperti yang berlaku di kebanyakan negara lain.

“Kita hanya boleh memenangi peperangan ini sekiranya semua rakyat Malaysia bersama-sama menjalankan tanggungjawab, disiplin dan kepatuhan sosial terhadap SOP – menerapkan penjarakan fizikal, melakukan langkah berjaga-jaga dan menjaga kebersihan kendiri.

“Menjelang hujung minggu ini, ramai yang akan pulang ke kampung tetapi gunakan masa yang ada untuk merancang dan melakukan apa yang perlu untuk mematuhi SOP dan norma baharu,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Baca artikel berkaitan: “Jangan terlalu gembira sampai lupa SOP kalau dah boleh rentas negeri”

Kerajaan telah membenarkan aktiviti rentas negeri bermula kelmarin seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahad lalu.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu sejajar dengan kadar vaksinasi populasi dewasa di Malaysia yang mencecah 90 peratus.

Mengulas lanjut. Dr. Noor Hisham berkata, kita semua perlu belajar menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana dunia tidak lagi sama.

Katanya, semua pihak perlu tahu setiap tindakan seseorang individu itu mempunyai kesan berganda kepada bagaimana kita menguruskan COVID-19 dalam komuniti.

“Kita perlu semua pihak melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada COVID-19. Ini adalah tanggungjawab sosial, kita perlukan disiplin dan kepatuhan sosial bagi mengamalkan SOP sedia ada.

“Mari kita bersama-sama membantu dan bersama-sama bagi memastikan orang tersayang terutama golongan rentan selamat,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram