TAN Sri Muhyiddin Yassin  menegaskan proses pemulihan selepas negara dilanda pandemik Covid-19 mesti melibatkan segenap aspek kehidupan dan pembinaan negara termasuk perpaduan serta kebudayaan.

Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, cabaran besar ialah bagaimana menjadikan fasa-fasa pemulihan ke hadapan  lebih menyeluruh dan lebih cemerlang daripada sebelum ini.

‘’Oleh itu, Pelan Pemulihan Negara ini perlu menyediakan strategi yang tuntas untuk Malaysia bangkit kembali dari impak pandemik Covid-19 dengan mengenal pasti sektor ekonomi yang paling memerlukan perhatian yang perlu dibantu untuk bangkit semula dengan tumpuan kepada pelancongan, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh jangka pendek dan sederhana,’’ katanya melalui Facebook beliau.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau menghadiri Sesi Ramah Mesra dan Dialog bersama warga Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah, felo-felo kanan, felo serta kakitangan institut itu.

Beliau berkata, negara sudah tentu tidak akan dapat kembali seperti dahulu  tetapi  apa yang sedang diusahakan diharap menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik.

‘’Saya juga mengucapkan tahniah kepada Institut MASA kerana berjaya menganjurkan majlis  ini dan berharap institut ini dapat meneroka lebih banyak bidang penyelidikan dalam isu-isu yang melibatkan rakyat seperti kemiskinan, pendidikan dan pembinaan negara bangsa,’’ katanya.

Institut MASA merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan dengan fokus awal  untuk merangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). 

Ia mempunyai 12 felo yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan pendidikan.

Turut hadir pada sesi itu ialah Menteri Kanan Pendirikan Datuk Dr Radzi Mohd Jidin, Menteri dan Tan Sri Sulaiman Mahbob, yang kedua-duanya adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA serta felo kanan antaranya Prof Datuk Dr Denison Jayasooria, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Datuk Dr Madeline Berma.