MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan kepada kerajaan untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing tanpa perlu kuarantin wajib menerusi program pengiktirafan sijil vaksinasi seperti mana telah dilaksanakan di beberapa buah negara lain.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat majlis itu pada hari ini telah dimaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan tentang cadangan untuk membuka sempadan itu.
Kata beliau, ia merupakan satu perkembangan positif yang mampu merancakkan semula kegiatan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain.
Menurut Muhyiddin, beliau dimaklumkan cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
“Ia juga memudahkan urusan pelawat perniagaan dan sosial untuk datang ke negara ini.
“Saya berharap proses pembukaan sempadan negara yang merupakan satu aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan segera dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali keempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.
Baca artikel berkaitan: MPN ambil tindakan perkukuh, tambah baik sistem kesihatan, ekonomi pasca COVID-19 – Muhyiddin
Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan, perkara itu dibincangkan selepas beliau menerima taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini indikator COVID-19 yang dalam keadaan positif.
Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan sama ada tempoh kuarantin kepada pelawat di negara ini dipendekkan atau terus dimansuhkan.
Katanya, isu mengenai pembukaan sempadan negara juga telah dipertimbangkan lama dan mungkin telah sampai masanya memandangkan rentas daerah serta negeri juga telah dibenarkan.
“Apa yang ditunggu-tunggu sama ada sempadan negara boleh dibuka untuk warga Malaysia pergi ke luar negara dengan beberapa peraturan tetapi tidak menyulitkan.
“Selain itu, pelawat asing baik perniagaan atau pelawat sosial boleh datang ke negara kita bila mana mereka telah dapat menyempurnakan dua dos, sijil digital diiktiraf dan mungkin ada saringan COVID-19 dibuat sebelum sampai ke sini.
“Tempoh kuarantin sama ada tidak dikenakan atau tak terlalu lama itu bukan di peringkat MPN tetapi kita bincang tentang perkara itu dan kita diberitahu akan dipertimbangkan dalam tempoh amat segera,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

