MUZIK nasyid pada era 1990-an mencetuskan fenomena yang luar biasa sehingga irama yang membawakan lagu-lagu ketuhanan ini berlegar di pelusuk dunia. Buktinya, kejayaan yang dikecapi oleh kumpulan Raihan yang membawa genre ini, mendapat perhatian Ratu Elizabeth II.

Namun, seiring peredaran zaman dan evolusi muzik, perlahan-lahan irama nasyid seakan terpinggir. Biarpun ada antara penggiat nasyid ‘senior’ masih aktif dan kumpulan nasyid pelapis muncul, ia belum mampu mengatasi magis yang dicipta dahulu.

Amar atau nama sebenarnya Arif Muazzim Abdul Rahman, antara artis ‘senior’ yang masih bergerak aktif memperjuangkan irama tersebut. Kini Amar tampil dengan single lagu baharu berjudul Atas Sejadah Cinta yang merupakan hasil ciptaan beliau sendiri.

Amar yang pernah popular dengan lagu Nurul Iman berkata, lagu Atas sejadah Cinta memiliki kekuatannya tersendiri dari segi kualiti susunan muzik, rakaman suara lebih bagus tetapi untuk menyaingi Nurul Iman agak sukar kerana lagu itu sememangnya telah terpahat di hati pendengar.

“Lagu ini bernada ‘full range’. Maksudnya ada bahagian melodi bernada rendah dan banyak lenggok. Ada juga bahagian melodi bernada teramat tinggi serta memerlukan nafas yang panjang. Semua ini memerlukan nyanyian dan rakaman yang amat teliti,” katanya.

Bagi penulis liriknya iaitu Ramzul Ikbar Saiful Aula, penghasilan karya itu mengambil masa baginya untuk mencari bait-bait kata sebelum diterjemahkan mengikut kesesuaian melodi.

“Setiap perkataan di dalam lirik lagu ini disusun dengan amat teliti bersama dengan melodi, vokal dan muzik agar memberi kesan yang mendalam kepada pendengar.

“Lagu ini berkisarkan taubat dan penyesalan seorang hamba yang dahulunya lalai dengan tanggungjawab serta lupa kepada suruhan Allah.

“Dalam lagu ini saya selitkan sebuah doa penting iaitu doa Nabi Adam. Ianya merupakan doa terbaik bagi seseorang yang ingin memohon keampunan daripada Allah,” jelasnya.

Proses rakaman lagu Atas Sejadah Cinta itu mengambil masa lebih kurang sebulan. Menurut Amar, dia sengaja memperlahankan proses untuk menyiapkan lagu ini kerana mahu memastikan lagu ini betul-betul berkualiti dan menusuk kalbu.

“Sebenarnya saya mampu siapkan keseluruhan proses pembikinan lagu ini selama seminggu sahaja, tetapi disebabkan saya mahu lagu ini betul-betul berkualiti termasuk pembikinan lirik, melodi, rakaman, muzik, mixing dan mastering menyebabkan penghasilan lagu ini memakan masa lebih kurang sebulan,’ katanya.

Pembikinan Video Muzik (MV) telah tertangguh hampir tiga bulan disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) namun setelah kerajaan mengumumkan peralihan fasa ketiga, penggambaran kembali dapat dilakukan di sekitar Putrajaya dalam masa sehari.

Amar yang juga seorang ahli silap mata, sebelum ini pernah menghasilkan lagu berbentuk zikir yang berjudul Tidurlah Hai Anak yang telah mencapai jumlah tontonan sebanyak 25 juta di saluran YouTube tidak pernah merasa jemu untuk menghasilkan lagu-lagu yang mengajak pendengar ke arah kebaikan.

“Pada saya nasyid ini satu medium untuk ketengahkan karya-karya yang bersifat sosial kritik. Dalam 50 lebih karya saya, ada cerita tentang memudahkan perkahwinan dan saya kritik orang yang menyusahkan perkahwinan, mengenai hutang, mengenai bahaya ajaran Syiah dan sebagainya.

“Kita bukan sahaja buat lagu untuk mengajak ke arah kebaikan tetapi mencegah kemungkaran,” ulasnya.

Amar berharap agar single lagu ini dapat diterima oleh pendengar tanpa mengira usia dan demografik serta tidak terhad kepada peminat nasyid sahaja.

Beliau tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi menjadikan lagu ini ‘meletup’ kerana baginya ia hanya bersifat ‘hype’ dan sementara sahaja seterusnya lagu tersebut akan dilupakan.

“Harapan saya supaya lagu ini akan menjadi lagu yang malar segar supaya pahalanya menjadi amal jariah walaupun sesudah saya tiada. Biar setiap masa ada orang mendengar lagu ini walaupun sedikit, yang paling penting ianya konsisten,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram