KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM83.2 juta bagi membina dan membaik pulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah serta Labuan, tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu membabitkan pembinaan 520 kediaman baharu dan proses membaik pulih 2,818 rumah PPRT.
Menurut beliau, tumpuan utama kementeriannya ketika ini adalah untuk menyediakan kediaman selesa kepada golongan miskin yang masih belum mempunyai kediaman.
“Selain itu, kita juga mengambil kira mereka yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah mereka.
“Sebagai contoh, di Sabah ini kita telah menyiapkan banyak rumah-rumah PPRT dan ada juga yang telah dibaik pulih.
“Projek bina baharu dan baik pulih PPRT ini telah saya letakkan sebagai satu daripada petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari saya sebagai menteri dan juga kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima PPRT Bina Baharu dan menyampaikan bantuan bakul makanan di Kampung Tanjung Batu, Pitas semalam.
Baca artikel berkaitan: Peruntukan RM1.2 bilion untuk projek pembangunan luar bandar Sabah – Mahdzir
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun.
Sementara itu, penantian selama 18 tahun Masri Bakri, 45, untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila dia dan keluarga kecilnya kini mendiami rumah yang dibina menerusi PPRT di Kampung Tanjung Batu.
Masri, yang bekerja sebagai nelayan, sebelum ini menumpang di rumah keluarga mentuanya bersama isteri, Masritah Mohd Yassin, 40, dan empat anak mereka sejak 2003.
Beliau berkata mereka sekeluarga mula mendiami rumah PPRT itu pada April selepas ia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
“Kami tinggal di rumah mentua cukup lama. Sebenarnya saya memang sudah lama memohon rumah PPRT dan kalau diikutkan, ada tujuh kali saya membuat permohonan tetapi tidak berjaya.
“Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila pada tahun ini diberikan rezeki untuk mendapatkan rumah PPRT. Anak-anak juga gembira dapat tempat tinggal yang selesa. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan seperti kami,” kata Masri.
Rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu, yang dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur serta ruang tamu, dibina dengan kerjasama GiatMARA menerusi projek PPRT 2021, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Seorang lagi penerima, Ramlon Maidin, 51, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membina rumah PPRT yang disifatkannya sebagai kediaman cukup selesa serta selamat untuk isteri dan lima anak mereka yang berusia antara empat hingga 15 tahun.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

