BAYANGKAN anda tinggal di suasana yang pemandangannya dilatari kelompok awan yang memutih, batuan gunung-ganang dengan udara sejuk yang menyegarkan. Tentu seronok, bukan?

Ini keadaan yang boleh dirasai jika anda tinggal di perkampungan yang sangat tinggi seperti di Lembah Spiti, India. Perkampungan Kibber ini ketinggiannya direkodkan berada pada paras 4,205 meter, melebihi ketinggian Gunung Kinabalu sebagai puncak tertinggi di Asia Tenggara.

Perkampungan Kibber. Cantik kan.

Kibber dikategorikan sebagai kedudukan kampung yang ekstrem dan tertinggi di dunia ketika ini.

Walaupun berada pada ketinggian menakjubkan, perkampungan Kibber bukanlah sebuah kampung yang mundur. Sebaliknya, masih lagi mempunyai ciri-ciri penempatan yang hampir lengkap, serta mempunyai bekalan elektrik.

Selain itu, perkhidmatan seperti sekolah, pejabat pos, jalan raya dan klinik juga wujud di kampung yang berada pada paras ketinggian luar biasa ini.

Ini secara tidak langsung meletakkan kesemua perkhidmatan yang berada di Kibber sebagai kedudukan teratas. Contohnya, sekolah dan pejabat pos paling tinggi di dunia.

Pemandangan kampung Kibber dalam tiga musim berbeza.

Kedudukan pada paras tertinggi memberikan kelebihan kepada penduduk Kibber untuk memperoleh udara yang bersih dan segar. Paling menguntungkan ialah jauh daripada sebarang pencemaran yang menyesakkan.

Kegiatan ekonomi utama penduduk di perkampungan ini adalah pertanian. Kawasan di sekitar kampung ini dikatakan antara lokasi subur untuk bercucuk tanam. Bagaimanapun, terdapat juga aktiviti lain yang dilakukan oleh penduduk sebagai pekerjaan. Antaranya seperti perdagangan yang mengambil masa perjalanan sekurang-kurangnya selama 3 hari.

Rumah di perkampungan Kibber.

Dalam pada itu, perkampungan Kibber tidak mempunyai jumlah rumah yang banyak. Secara purata, kawasan ini hanya memiliki tidak sampai 100 buah kediaman.

Istimewanya, kesemua binaan ini dicat dengan warna putih pada dinding dan merah pada bahagian bumbung. Dihasilkan dengan bentuk segi empat tepat dan tersusun di sepanjang cerun mendatar menjadikan rumah penduduk di sini kelihatan cantik apabila dipandang dari jauh.

Pelancong dibenarkan melawat ke sini pada musim panas iaitu dari bulan Jun hingga Oktober. Waktu operasi perkhidmatan bas pula adalah dua kali pada setiap hari iaitu waktu pagi dan petang. Bagaimanapun, pengangkutan lain seperti teksi dan sewaan pacuan empat roda juga boleh didapati untuk ke lokasi ini. Cumanya, kos menaiki kenderaan ini lebih mahal daripada bas.

Untuk ke Kibber, pelancong akan bergerak dari Kaza, memandangkan ia merupakan lokasi yang terdekat. Masa perjalanan dari kedua-dua lokasi ini dianggarkan selama satu jam.

Perkampungan ini terkenal sebagai lokasi ekspedisi ‘trekking’ dengan pemandangan yang menakjubkan. Pada waktu malamnya pula, pengunjung akan terpegun melihat kecantikan langit yang seakan tampak dekat dan luas.

Malam di Kibber. Lokasi kampung ini turut menjadi tumpuan para jurugambar.

Memandangkan jumlah kediaman di sini adalah terhad, begitu juga dengan rumah tumpangan untuk pelancong.

Di sini tiada lokasi untuk makan dan minum seperti kafe. Jadi, pengunjung hanya makan juadah yang disediakan di rumah tumpangan. Biasanya mereka akan dijamu dengan menu kacang dal, kentang dan nasi sebagai makanan berat dan roti prata pada waktu sarapan.

_____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam