PELBAGAI pihak membantah pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai larangan mengadakan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Mereka, termasuk pemimpin UMNO mempertikaikan pengumuman tersebut dengan alasan COVID-19 kerana Melaka telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana sepatutnya membenarkan perhimpunan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, pengumuman yang dibuat kementerian itu secara tidak langsung menggambarkan semua aktiviti pilihan raya di Melaka tidak dibenarkan.
“Varian Delta dijadikan alasan SOP di PRN Melaka dan kita tahu SOP di Melaka yang agak kita tidak boleh terima.
“Saya sendiri sebagai anggota menyokong kerajaan tidak boleh diterima apa yang disebut ‘sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan’. Jadi, tanggapan itu terlalu luas.
“Kalau baca ayat itu juga bermaksud ‘sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan berkuat kuasa hari ini hingga 27 Nov’. Kita nak buat pilihan raya tapi sebarang aktiviti pilihan raya tak boleh dibuat,” katanya yang juga Setiausaha Agung UMNO di Dewan Rakyat hari ini.
BERITA BERKAITAN PRU-15 dalam norma baharu: “Tiada ceramah, perang poster” dalam kempen – Tuan Ibrahim
Ahmad berkata, alasan dibuat KKM kononnya larangan itu bagi menghalang penularan varian Delta bertentangan dengan apa yang dimuat naik di laman web kementerian itu bahawa mereka divaksin jarang dijangkiti.
“Saya baca di web KKM apa disebut tentang varian Delta dimana jangkitan varian Delta dalam kalangan individu divaksin jarang berlaku dan jika dijangkiti tidak akan mengalami gejala teruk dan mungkin tak perlu ke hospital, itu dalam web KKM tapi ia dijadikan alasan tak boleh lakukan aktiviti ketika PRN di Melaka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak semula larangan tersebut dengan memberi beberapa kelonggaran untuk berkempen.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam pengumuman semalam berkata larangan yang akan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November itu termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Sementara itu, Bersih 2.0 turut menolak larangan penuh berkempen tersebut yang disifatkan adalah satu penindasan kepada hak calon untuk berkempen dan hak pengundi untuk membuat keputusan bermaklumat.
Malah, kata mereka, ia tidak selari dengan SOP di Melaka yang sudah memasuki Fasa 4 PPN yang sepatutnya membenarkan aktiviti sosial dan ziarah, dengan had 50 peratus kapasiti ruang dan pematuhan penjarakan fizikal.
“Arahan menteri kesihatan adalah tidak konsisten dengan garis panduan PPN kerana ia mensasarkan kepada aktiviti berkaitan pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, Bersih berkata larangan itu merugikan calon bukan kerajaan susulan kecenderungan media kerajaan melaporkan aktiviti dan pencapaian calon kerajaan serta menonjolkan kegagalan pembangkang.
“Ini tentunya menjadikan perlawanan berat sebelah dan mengurangkan kesahan sebarang keputusan pilihan raya nanti,” katanya.
Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin turut menyoal SOP bagi PRN Melaka yang diumumkan Khairy semalam.
“Pengumuman KJ (Khairy) dilihat ‘memperolok-olokkan’ sistem demokrasi yang dipaksikan dengan pilihan raya yang bebas, adil dan pengundi yang mendapat maklumat secukupnya.
“Apa manfaat pilihan raya negeri diadakan di mana mandat yang akan diberikan adalah untuk lima tahun di dalam keadaan semua parti dihalang untuk berkempen secara biasa yang difahami oleh rakyat di atas nama Covid-19,” katanya kepada Malaysiakini malam tadi.
Sementara itu, Shamsul memberitahu PKR akan menggunakan saluran digital dan tradisional untuk berkempen.
“Namun dengan perkembangan terkini, tentunya PKR akan memberikan tumpuan kepada kempen yang bernuansa baru memanfaatkan sepenuhnya platform digital dan strategi kempen cara tradisional seperti selebaran risalah dan kempen bergerak,” kata ahli parlimen Hang Tuah Jaya itu. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

