KEADAAN pandemik COVID-19 yang masih menular dan suasana politik yang tidak stabil bakal mendorong Pilihan Raya Umum ke-15 (PRu-15) akan diadakan dalam norma baharu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ahli dan pendukung Pas hendaklah bersedia menghadapi PRU-15 dalam suasana norma baharu yang mana berkemungkinan tiada lagi aktiviti kempen seperti biasa.
Memetik laporan Harakahdaily, beliau berkata, begitu juga poster kempen juga mungkin tidak akan kelihatan lagi jika COVID-19 masih menular.
“Jadi kita kena bersiap sedia dengan suasana baru. Memanglah pada peringkat awal susah laksanakan norma baru ni, namun lama-lama insya-Allah akan OK.
“Pelaksanaan norma baru dirasai dalam kehidupan harian sekarang, malah turut melibatkan ceramah, mesyuarat serta perjalanan PRU-15,” katanya pada ceramah perdana Hijratul Rasul anjuran Pas Kelantan secara atas talian malam tadi.
BERITA BERKAITAN Pilihan raya ketakutan sebenar Pakatan Harapan
Ceramah itu mengupas tajuk Meneladani dan Mengambil Ibrah Hari Kebebasan Islam yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kelantan TV.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sidang Dewan Rakyat yang dijangka diadakan pada September ini akan menentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada dapat bertahan atau sebaliknya.
“Situasi politik sehari dua ini nampak tidak stabil khususnya setelah Umno meminta ahli parlimennya menarik diri daripada kerajaan PN,” katanya.
Persidangan parlimen itu akan bermula dengan titah perasmian Yang di-Pertuan Agong kemudian diikuti usul percaya terhadap perdana menteri. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

