PENAMBAHBAIKAN kemudahan di beberapa sekolah di Sri Aman, Sarawak sedang giat dilakukan bagi memberi keselesaan kepada warga sekolah di kawasan itu, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau yang kini berada di Sarawak meneruskan kerja-kerja meninjau keadaan infrastruktur dan pengoperasian sekolah-sekolah di kawasan Sri Aman hari ini.

Beliau berkata, tinjauan pada sebelah pagi melibatkan dua sekolah menengah iaitu SMK Simanggang dan SMK Balai Ringin dan berpeluang berjumpa dengan murid tingkatan lima dan enam yang sedang mengikuti pengajaran dan pendidikan (PdP) secara bersemuka.

“SMK Simanggang merupakan sekolah asrama harian yang mempunyai 1,047 murid di mana 98 adalah murid tingkatan enam semester dua dan tingkatan lima seramai 161 murid.

“Selain itu, terdapat tujuh murid Program Pendidikan Khas Integrasi turut hadir ke sekolah bagi mengikuti PdP secara bersemuka. Guru dan murid kelihatan begitu gembira serta teruja dapat kembali melaksanakan PdP secara bersemuka,” katanya dalam kenyataan di Facbeook miliknya hari ini.

Katanya, dalam aspek penambahbaikan fasiliti sekolah itu, penyerahan satu blok pejabat yang baharu akan dibuat dalam masa terdekat di samping dewan sekolah yang berusia hampir 50 tahun akan diganti bumbung dan dilakukan pendawaian semula.

Beliau berkata, SMK kedua yang dilawati adalah SMK Balai Ringin dengan kapasiti seramai 1,494 murid.

“Selain meninjau infrastruktur sekolah, saya juga bertemu dan bertanya khabar dengan 36 murid tingkatan enam semester dua dan 267 murid tingkatan lima yang telah memulakan sesi PdP secara bersemuka sejak awal Oktober lalu.

“Pembukaan semula sekolah secara bersemuka telah memberi ruang untuk anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan STPM dan SPM ini membuat persiapan rapi sebaiknya,” katanya.

Radzi berkata, pembinaan blok asrama baharu SMK Balai Ringin sedang giat dilaksanakan dan kemudahan tersebut pastinya akan memberi lebih keselesaan kepada murid asrama.

“Terima kasih pengetua dan guru SMK Simanggang dan SMK Balai Ringin. Kami akan usahakan yang terbaik untuk menyediakan fasiliti dan kemudahan di sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar agar anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan yang selamat dan selesa,” tambahnya.

Beliau juga berkata, tinjauan di Sri Aman hari ini juga melibatkan sebuah sekolah rendah, iaitu SK Bakong yang merupakan sekolah asrama harian dengan jumlah murid seramai 146 orang, termasuk 13 murid prasekolah.

Katanya, SK Bakong telah beroperasi lebih 60 tahun dan sebahagian besar bangunan sekolah telah usang.

“Beberapa kemudahan di sekolah seperti kipas yang rosak akan digantikan dengan segera. Ini akan membolehkan anak-anak di sekolah ini dan juga yang tinggal di asrama dapat belajar dengan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, projek pembinaan gantian penuh sekolah melibatkan bilik darjah, asrama dan rumah guru bagi SK Bakong telah diluluskan dan lokasi baharu sekolah itu terletak kira-kira dua kilometer dari tapak asal.

“Kami akan usahakan pelaksanaan projek ini disegerakan agar warga SK Bakong dapat menggunakan sekolah baharu yang lebih selesa secepat mungkin,” katanya. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram