PIHAK polis diminta untuk mengambil tindakan segera berhubung aktiviti bermotosikal melibatkan aksi berbahaya yang berlaku di sekitar Jambatan Putra, Presint 1, Putrajaya.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, aksi sedemikian telah mengganggu ketenteraman awam yang menjadikan pusat pentadbiran kerajaan itu sebagai lokasi riadah.
“Saya menerima kiriman video berkaitan aktiviti bermotosikal yang melibatkan aksi berbahaya, termasuk perlumbaan, di sekitar Jambatan Putra, Presint 1, Putrajaya.
“Kawasan ini merupakan laluan awam dan tindakan sedemikian adalah berbahaya kepada orang awam yang menggunakan laluan tersebut.
“Keselamatan dan ketenteraman awam mesti diutamakan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap pihak berkuasa dapat mempertingkatkan pemantauan di lokasi terbabit demi kebaikan semua pihak.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

