Dunia warga emas, tidak semudah menarik lesen memandu mereka

Dari Penulis

10 x 500 meter.

Itulah rutin larian perlahan seorang uncle di Petaling Jaya, selepas solat isyak agar terus sihat dalam mengejar usia 60-an. Pada jarak itu, idolanya, jagoan maraton dunia, Eliud Kipchoge, 36, cuma mengambil masa kurang 15 minit sedangkan dia perlu cekal hampir sejam.

Sekitar 100 km di atas kepalanya, Kapten James T. Kirk hero siri sains fiksyen Star Trek berlegar di angkasa lepas dalam kapal roket Blue Origin milik Jeff Bezos. Inilah kali pertama Kapten Kirk atau nama sebenarnya William Shatner, berusia 90 tahun, ke angkasa lepas sedangkan sebagai Kapten di USS Enterprise, dia ‘mengembara’ di angkasa sejak siri pertama Star Trek pada 1966.

Pada hari yang sama pada tanggal 13 Oktober lalu itu juga, CNN menjadikan apa yang berlaku 51 tahun lalu antara berita utamanya. Ia melaporkan pendedahan Paul McCartney, 79 , mengenai siapa dalang sebenar yang memecahkan The Beatles pada zaman kemuncaknya. Menurut McCartney, walaupun dia yang mengumumkan pembubaran kugiran itu kepada media pada 1970, tetapi ia dilakukan selepas John Lennon memutuskan keluar dari The Beatles.
McCartney masih menempa sajarah di Amerika Syarikat (AS) selepas berbuat demikian bersama The Beatles, 57 tahun lalu. Kali ini album McCartney III Imagine menjadi album remix paling laris di AS.

Aksi sekumpulan penari rap tertua dunia mendapat perhatian di YouTube. Kumpulan wanita itu, Bamboo Shoot dianggotai Tori, 64, Mash, 59, dan Tachiflower, 62, terkenal dengan tarian lagu album Bruno Mars, 24k Magic* .

Anekdot-anekdot tadi adalah manifestasi bahawa menjadi tua bukan satu fasa membosankan dan terpulang bagaimana anda menguruskannya hingga tidak terlajak lupa diri. Ahli sains meramalkan jangka hayat manusia akan meningkat antara 90 tahun hingga 100 tahun pada abad ke-22 (penyelidik dari Universiti Washington menyasarkan manusia boleh hidup antara 125 tahun hingga 130 tahun). Ketika ini jangka hayat manusia menurut WHO ialah 73.4 tahun berbanding 47 tahun pada 1900.

Ramuan untuk hidup lama sedang dikaji oleh para saintis yang cuba membuatkan ‘fasa muda’ fungsi tubuh bertahan lebih lama melalui terapi gen dan sel tubuh manusia. Rawatan itu akan kemudian menjadi murah dan semudah menelan sebiji pil setiap pagi.

Justeru usia senja tidak semestinya membawa rasa gelisah masalah kesihatan, kemurungan kehilangan sumber kewangan dan terpaksa bergantung hidup dengan orang lain. Malah pada ketika itu definisi usia warga emas adalah lebih tua berbanding 65 tahun ke atas seperti sekarang. Kita tidak mungkin berada di alam ini untuk melihat semua ini berlaku 79 tahun lagi.

Begitupun, apabila jumlah mereka yang berusia 65 tahun ke atas meningkat kepada satu pertiga jumlah penduduk, negara kita akan berada dalam kategori negara super ageing (negara yang masyarakatnya orang tua) sekaligus menguji pengurusan ekonomi, kelengkapan perubatan dan sosial negara ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia ketika ini, 69.7 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara adalah berusia antara 15-64 tahun – sumber tenaga kerja negara. Seramai 2.4 juta atau 7 peratus penduduk berusia lebih 65 tahun. Kadar kelahiran bayi di negara ini mencatatkan penurunan sejak 5 tahun lalu.

Berdasarkan perkembangan ini, penduduk berusia 65 tahun ke atas akan bertambah sekali ganda menjadi 14 peratus pada 2044 di mana negara diketegorikan sebagai ‘aged nation’.

Peratusan mereka akan meningkat kepada 20 peratus pada 2056 sekaligus menjadikan negara ini dalam kategori super ageing nation.

Berdasarkan statistik ini, kita sudah kesuntukan masa untuk bersiap menjadi negara super ageing. Lihat sajalah selepas 50 tahun Dasar Ekonomi Baharu dilancarkan, kita masih berasa begitu banyak perkara yang belum selesai.

Kegagalan melaksanakan dasar berkesan kepada negara super ageing bukan sekadar memberi impak negatif warga super senior kita. Kos menguruskan warga emas dan kemakmuran ekonomi negara terpaksa digalas oleh kumpulan tenaga kerja yang makin mengecil sekaligus memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Jepun, Jerman dan Itali sudah dikategorikan negara super ageing dan kita dapat melihat reaksi yang agak drastik, khususnya Jerman dan Jepun.

Bagi terus kompetitif, Jerman terpaksa membawa masuk ramai imigran hingga 20 peratus penduduk negara itu kini adalah imigran. Pada kadar sekarang, Jerman satu masa kelak akan berdepan dengan masalah 40 peratus penduduknya ialah imigran.

Jepun pula meningkatkan penggunaan robotik, menggalakkan wanita kembali bekerja, mengambil pekerja kolar biru dari luar. Kajian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mendapati Jepun perlu menaikkan usia persaraan daripada 65 tahun kepada 77 tahun. Jepun dihuni 126 juta orang adalah negara tunggal dunia yang 30 peratus penduduknya berusia lebih 65 tahun. Jepun juga menubuhkan Jawatankuasa Menghadapi Rakyat Hidup 100 Tahun yang diketuai perdana menterinya sendiri.

Justeru di Malaysia, pembentangan rang undang-undang melindungi warga emas di Parlimen adalah permulaan penting dan diharapkan berjaya sebagaimana sasarannya mewujudkan lebih banyak pusat penjagaan warga emas, pusat aktiviti di semua 222 kawasan Parlimen, jaringan sukarelawan membantu warga emas ke klinik hospital dan bantuan kewangan.

Pengurusan sebuah negara yang ramai rakyatnya sudah berusia bukan sekadar cukup dengan menangani isu perubahan fizikal, kognitif dan psikososial warga emas. Ia tidak semudah menarik lesen memandu mereka yang tua atau menghadkan mereka berehat saja di rumah kerana dibimbangi sudah nyanyuk.

Bagi menangani negara super ageing lebih banyak, usaha besar mesti dilaksanakan.

Bermula dari meningkatkan pendapatan perkapita rakyat, meningkatkan had persaraan secara berperingkat, menambah infrastruktur kesihatan, harga ubat yang rendah, membantu anak anak yang menjaga orang tua mereka dan meningkatkan kesedaran kesihatan semua peringkat usia.
Ia sewajarnya menjadi sebahagian Rancangan Malaysia ke-12 dengan menekankan strategi agar Malaysia kekal kompetitif.

Dunia warga emas boleh membuka industri baharu dengan menyediakan pelbagai peralatan bantuan seperti orang Jepun mencipta pakaian khas robotik bagi menampung otot dan badan untuk warga emas bergerak.

Ada kalanya idea itu lahir dari warga emas sendiri. Wasako Wakamiya, 84, menjadi pencipta app tertua dunia. Rasa bosan membuatkan dia belajar komputer dan berjaya menghasilkan permainan komputer Hinadan berusurkan watak dalam istana Maharaja Jepun.

Ajal satu pengakhiran yang mesti bagi semua manusia dan masanya ditentukan oleh Tuhan. Hidup kita satu putaran, dipimpin pada masa kecil dan dipimpin juga dan dibantu di masa tuanya. Ada kalanya, hanya sentuhan anggota keluarga boleh meredakan penderitaan. Kita bersyukur kerana nilai hormat dan cakna terhad kebajikan orang tua adalah budaya kita orang Timur.

Apabila seseorang sudah lesu dan tidak punya apa, orang itu dihargai kerana jasa-jasa lamanya. Begitulah keadaannya dengan golongan super senior yang lebih tua daripada kita.
Justeru dekati mereka agar mereka terus dalam lingkaran sosial dan tidak disisihkan.

Janganlah kerana mereka sudah tidak di depan mata, mereka kita lupakan. Inilah peranan NGO dan sesuatu kejiranan menggalakkan dan membantu warga emas keluar dari rumah kembali kepada masyarakat. Lawati mereka yang tinggal sendirian. Biar jauh di mata tapi dekat di hati.

Datuk Badrulhisham Othman berasal dari Kuantan, Pahang bertugas sebagai wartawan selama 33 tahun untuk akhbar Berita Harian (BH) dan Harian Metro.

Beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Pengarang Eksekutif BH, Ketua Penyunting BH, Pengarang Berita Metro Ahad, Pengarang Sukan BH dan Harian Metro.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kisah ‘ini kalilah’ Tangkak dan panglima mencatur permainan

BARU-BARU ini saya pulang ke kampung di Melaka, saya keluar ikut tol Tangkak, Johor. Keluar dari tol, saya menghala ke...

More Articles Like This