PENGARAH dan penerbit, Michael Ang menyambut baik sekiranya pihak berwajib ingin melaksanakan ujian saringan air kencing kepada kru produksi sebelum memulakan penggambaran.

Mengambil kira isu penyalah gunaan dadah yang melibatkan pelakon dan kru produksi sebelum ini, Michael berpendapat menyaring air kencing adalah langkah tepat untuk pencegahan awal.

“Saya pernah cadangkan perkara ini kepada pihak stesen televisyen, namun hal ini sudah tentu melibatkan bajet yang besar kerana kos produksi akan bertambah.

“Saya memang setuju kalau kru dan pelakon kena saring ujian air kencing dulu sebelum masuk set sebab ia melibatkan nyawa dan keselamatan.

“Saya faham, ada penerbit yang akan ‘bising’ sebab mereka terpaksa tambah kos jika idea ini diluluskan. Sedangkan sekarang ini kru dan pelakon kena buat ujian Covid-19 pun sudah menambah bajet perbelanjaan produksi.

“Perkara ini perlu diperhalusi dan kena duduk berbincang supaya akan dapat kesepakatan bersama. Secara peribadi, cadangan ini bagus untuk industri seni kita bebas daripada dadah,” katanya kepada URTV.

Michael berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual bersama pengarah dan pelakon drama bersiri Sihir, semalam.

Dalam pada itu, Michael bersikap tegas dan enggan ‘membusukkan’ nama baik produksinya dengan kes penyalah gunaan dadah.

Justeru, selaku pengarah dan penerbit bertanggungjawab, dia sering mengingatkan pekerja belakang tabir termasuk para pelakon untuk tidak menimbulkan masalah ketika hadir ke lokasi penggambarannya.

“Bab dadah ini memang pantang, sebab saya dah maklumkan kepada kru dan pelakon yang saya tak nak ambil tahu apa yang mereka lakukan di luar set.

“Janji mereka datang ke lokasi penggambaran tidak buat perkara yang menyalahi undang-undang.

“Kalau kat luar, nak buat hal, buat lah! Saya tak boleh nak kawal anda. Tapi, bila datang set penggambaran, tolong hormat kerja orang lain.

“Bila di lokasi penggambaran, kena faham jika ada sesiapa yang buat masalah, seluruh produksi akan terima padah sekaligus ia akan kacau periuk nasi orang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Michael bakal muncul dengan drama seram terbaharu arahannya iaitu Sihir.

Drama 20 episod itu menampilkan pelakon Kamal Adli, Hun Haqeem, Zarul Husin, Sharifah Shahora dan ramai lagi.

Sihir mengisahkan tentang adik-beradik kembar iaitu Nuh dan Hud yang mempunyai deria keenam dan cuba menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan sihir yang mengganggu orang di sekeliling mereka.

Sihir akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 11.00 malam bermula 1 November hadapan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram