PELAKON kacak Nadhir Nasar bakal mengacarakan program realiti terkenal Hero Remaja 2021 bersama gandingan hebat Shaza Bae.

Menurusi laporan temubual bersama Media Hiburan, Nadhir akui kini perasaanya bercampur baur saat diberi tanggungjawab untuk keluar dari zon selesa dengan memegang tugas sebagai pengacara.

Jujurnya, dia masih belum bersedia untuk menjadi seorang hos oleh kerana Nadhir perlu membawa aura positif untuk menarik perhatian ramai menonton rancangan tersebut.

“Saya belum sampai ke tahap untuk mempengaruhi penonton sebagai Nadhir Nasar. Sebagai pelakon, kita selalu memegang pelbagai watak dan ia sangat berbeza dari bidang pengacaraan.

“Kadang kita tidak sedar kemampuan sebenar diri kita. Kita mungkin tak nampak tapi orang lain tahu. Sebagai manusia, kita tidak akan pernah puas dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru,” katanya.

Malah, pelakon drama I-Tanggang itu turut berterima kasih kepada pasukan Majalah Remaja yang banyak membentuk peribadinya dan kini dia sedang giat membuat persiapan dalam bidang pengacaraan dengan merujuk saluran Youtube dan Podcast.

“Pengarah memberikan maklum balas yang positif kepada saya tetapi saya merasakan banyak lagi perlu belajar terutamanya teknik penggunaan bahasa yang betul. Saya terima segala cabaran dan sebagai Juara Hero Remaja 2020, saya harus sentiasa bersedia.

“Saya tak pernah pergi kelas dan hanya buat rujukan di Youtube untuk berlakon dan mengacara. Saya juga banyak dengar Podcast daripada hos dan pelakon. Input yang saya terima itu diaplikasikan dalam kerjaya saya.

“Kalau ada rezeki mengacara lagi, saya tidak akan menolak. Namun, saya akan lihat dahulu sasaran penonton bagaimana,” katanya apabila ditanya mengenai perancangan masa hadapan dalam bidang pengacaraan setelah tamat Hero Remaja 2021.

Nadhir turut menambah bahawa dia belum bersedia untuk menjadi pengacara dalam program besar seperti Gegar Vaganza.