KOREA Selatan sedang melakukan persediaan untuk membenarkan rakyatnya 'hidup bersama COVID-19'. - Gambar hiasan

WALAUPUN kadar peratusan vaksinasi lengkap penduduk negara itu hanya akan mencecah 70 peratus, Korea Selatan telah bersiap sedia untuk memasuki era atau fasa ‘hidup bersama COVID-19’ tidak lama lagi.

Berbanding dengan Malaysia, kadar vaksinasi lengkap penduduk negara ini adalah antara yang paling pantas di dunia dan kini telah mencecah 74 peratus (covidnow.moh.gov.my) tetapi tiada tanda-tanda rakyat negara ini akan dibenarkan memasuki era tersebut.

Malahan, beberapa prosedur operasi standard (SOP) masih diperkenalkan walaupun sesebuah negeri itu telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) – fasa terakhir yang mana semua penduduk sepatutnya dibenarkan kembali kepada norma kehidupan seharian.

Sebagai contoh, masjid di kebanyakan negeri yang telah memasuki Fasa 4 yang kapasitinya mampu mengisi ribuan orang (dengan penjarakan sosial) tetapi hanya dibenarkan diisi beberapa ratus orang sahaja.

Menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan, negara itu merancang melancarkan garis panduan “hidup bersama COVID-19” pada bulan depan apabila peratusan penduduk lengkap vaksinasi COVID-19 akan mencecah 70 peratus.

BERITA BERKAITAN Johor, Terengganu beralih ke Fasa 4 PPN mulai Isnin – Ismail Sabri

Bermula 1 November, sekatan waktu perniagaan beberapa kemudahan awam termasuk restoran dan kafe di negara tersebut, akan ditarik balik kecuali kelab malam. 

Garis panduan itu mempunyai tiga peringkat, di bawah fasa pertama pusat hiburan lain akan dibenarkan beroperasi sehingga tengah malam, menurut Xinhua.

Buat masa ini, restoran dan kafe dibenarkan dibuka sehingga 10 malam waktu tempatan di Seoul, manakala di beberapa kawasan lain waktu perniagaan dihadkan sehingga tengah malam.

Bilangan maksimum untuk aktiviti perhimpunan persendirian akan dinaikkan kepada 10 orang di kawasan metropolitan tanpa mengira status vaksinasi, berbanding lapan sebelum ini.

Di kawasan bukan metropolitan pula jumlahnya akan ditambah kepada 12 orang berbanding 10. 

Bagi mereka yang masih belum lengkap vaksinasi, hanya maksimum empat orang dibenarkan duduk semeja di restoran dan kafe.

Selain itu, sistem “pas vaksin” yang akan diperkenalkan bakal memberikan masa kepada pengguna supaya mereka dapat menunjukkan sijil vaksinasi atau keputusan saringan negatif ketika melawat fasiliti berisiko seperti kelab malam, karaoke, spa, kemudahan sukan tertutup, kelab lumba kuda, trak lumba basikal dan kasino serta institusi perubatan.

Langkah-langkah pencegahan COVID-19 itu dilonggarkan apabila lebih 70 peratus populasi Korea Selatan lengkap divaksinasi. 

Korea Selatan melaporkan 2,124 lagi kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 360,536.

Fasa pertama garis panduan baharu akan dikuat kuasa selama enam minggu. Di bawah fasa kedua pula sekatan waktu operasi pusat hiburan akan ditarik balik.

Di bawah fasa ketiga pula had bilangan jumlah orang yang boleh menyertai perhimpunan persendirian bakal dimansuhkan. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram