Golongan imam, bilal, siak dan guru agama juga menerima bantuan dalam Bajet 2022 yang dibentang hari ini. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

KHABAR gembira buat imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru KAFA di seluruh negara dalam Bajet 2022.

Ini apabila kerjaan mengumumkan pemberian khas sekali bayar sebanyak RM500 yang melibatkan 70,000 penerima.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan belanjawan tahunan negara di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, aspek pengimarahan syiar Islam juga menjadi tumpuan dalam Bajet 2022 yang secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya, di bawah payung pendidikan Islam, Kerajaan akan melaksana inisiatif membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM65 juta.

Baca artikel berkaitan: Bajet 2022 bertema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, RM332.1 bilion diperuntuk

Kerajaan juga ujar beliau, akan meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah JAKIM kepada agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 orang Guru Takmir.

“Kerajaan akan terus memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah.

“Bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengusaha industri halal serta membantu mereka sekiranya ditimpa bencana, Kerajaan akan menyalurkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.

“Syarikat-syarikat Korporat dan individu dialu-alukan untuk mewakafkan harta mereka ke dalam tabung ini,” jelasnya.

Pada tahun hadapan, kata Tengku Zafrul, sejumlah RM1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah.

Peruntukan ini juga katanya, termasuk RM140 juta kepada JAKIM bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding RM100 juta pada tahun 2021.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram