PASTINYA ramai tidak sabar untuk menyaksikan gandingan mantap Ain Edruce dan Kamal Adli sebagai pengacara baharu program realiti Lagu Cinta Kita Musim Ketiga (LCK3) yang akan disiarkan bermula esok.

Kedua-dua pengacara itu akan menerajui LCK3 dengan cara, pendekatan dan kreativiti tersendiri untuk sepanjang lapan episod bersiaran. Ini merupakan gandingan pertama mereka di atas pentas dan tentunya membuatkan penonton tidak kering gusi menyaksikan gelagat ceria dan spontan mereka!

Setiap musim LCK, penonton akan dihiburkan dengan pasangan pengacara yang berlainan. Ini kerana pihak produksi ingin menyuntik elemen baharu yang berbeza dalam setiap musim menerusi pasangan pengacara yang dipilih dan pemilihan juga berlandaskan kepada kebolehan setiap pengacara.

Ia sangat penting kerana pengacara yang dipilih itu juga akan digandingkan buat pertama kalinya bersama. Penelitian dibuat untuk memastikan pengacara yang dipilih dapat mengendalikan program yang disiarkan secara langsung berjalan dengan lancar.

Gelagat Ain dan Kamal yang mempunyai perwatakan ceria sudah membuatkan peminat tidak sabar untuk menungggu. Ain yang pernah menjadi pengacara program hiburan MBuzz, berpengalaman luas dalam bidang pengacaraan, lakonan dan peragaan, sudah cukup untuk melayakkan diri bergandingan dengan Kamal.

Begitu juga dengan Kamal yang turut mempunyai pengalaman luas sebagai seorang pelakon, peragawan, pengacara dan pelawak sekaligus menjadi tiket untuk Kamal memberikan yang terbaik kepada penonton.

Ditambah pula dengan kehadiran juri tetap berpengalaman dan terkenal tanah air iaitu Ajai dan Mas Idayu, pastinya LCK3 kali ini menjadi semakin gamat. Gelagat kedua-dua juri itu sahaja sudah membuatkan penonton tidak sabar “pergaduhan” apa yang bakal berlaku di setiap episod.

Lebih mengujakan, program ini dilihat berjaya membuka peluang kepada mereka yang ingin mencapai impian dalam bidang seni tanah air. Penyertaan secara online untuk musim ini sahaja telah mencecah lebih daripada 1,000 penyertaan diterima dan hanya 20 peserta terpilih untuk mewarnai LCK3. Ini bermakna 10 pasangan akan berentap di pentas dan merebut gelaran juara.

Siapakah para peserta LCK3 kali ini dan adakah mereka berjaya mencari keserasian dengan pasangan yang akan diperkenalkan nanti?Jangan lupa saksikan LCK3 mulai esok, setiap Ahad, pukul 9 malam di TV3.