TAHUKAH anda hasil buangan anda itu bukan buang tidak berguna semata-mata? Ia mampu mengungkap 1001 kisah berhubung dengan tahap kesihatan. Tetapi untuk melihatnya ‘bercerita’ anda perlu tahu apa yang perlu diperhatikan dan bijak menilai apa yang cuba disampaikan melaluinya. Jangan tarik pam tandas dahulu dan perhatikan. Biarkan bahan buangan anda ‘bercerita’.

Ada cebisan makanan yang besar

Ia mungkin mengandungi makanan yang tidak habis di hadam di dalam perut anda. Kesannya, ada cebisan makanan seperti jagung, bijirin dan sebagainya. Sekiranya ini berlaku, itu pertanda anda lebih banyak menelan makanan sebelum sempat membuat kunyahan makanan dengan sempurna. Selepas ini anda perlu minum lebih banyak jus buah yang mengandungi serat untuk membantu melancarkan proses penghadaman.

Alamak busuknya!

Apabila seseorang itu memiliki sistem penghadaman yang sihat, biasanya bahan buangnya kurang berbau. Makanan yang kurang kandungan gula dan tinggi kandungan serat boleh diambil untuk mengurangkan maslah najis berbau kuat dan menyengat itu.

Kemungkinan bau kurang sedap itu kesan daripada anda terlalu banyak mengambil buah-buahan manis.

Justeru tukar kepada buah yang kurang manis atau sederhana rasanya. Dan satu perkara yang anda perlu tahu, apabila anda makan banyak daging merah ia akan lebih menyebabkan najis anda berbau kuat.

Bagaimana sekiranya ‘ia’ berlendir?

Itu pertanda kandida atau seriawan sedang berlaku. Penyakit ini banyak dicetuskan oleh bakteria yang ada di mulut. Apa yang cuba disampaikan oleh si bahan buangan ini adalah mula ‘menternak’ semula bakteria baik di dalam perut anda. Caranya mudah, kurangkan pengambilan gula tingkatkan probiotik di dalam makanan. Ambil yogurt atau ambil makanan tambahan yang membekalkan probiotik untuk perut yang lebih sihat.

Mengapa berwarna pucat?

Warna najis yang pucat membawa maksud berlaku sedikit gangguan pada hati, hempedu, cecair hempedu dan mungkin akibat tindak balas ubat.

Keadaan ini juga mungkin ada kaitan dengan apa yang anda ambil dan makan sehingga memaksa organ dan cecair tadi bertindak balas melindungi tubuh dari bahaya yang ada dalam makanan. Tetapi apa yang anda makan? Kemungkinan alkohol, makanan tinggi kandungan lemak dan makanan yang mengandungi bahan perasa yang tinggi (diproses) yang berbahaya. Hentikan mengambil makanan yang memudaratkan organ perkumuhan anda. Dapatkan juga rawatan daripada pakar perubatan untuk membantu anda mendapat kepastian.

Najis berdarah!

Jangan panik dan fikir sedalam mungkin. Ada banyak kemungkinan terjadinya warna merah atau coklat pekat pada najis anda. Ia mungkin buasir atau petanda awal kedatangan kanser seperti kanser perut, usus atau ulser.