Menurut Yayasan Penyelidikan Kanser Dunia, seramai 19.9 juta manusia di seluruh dunia didiagnosis dengan penyakit kanser pada tahun 2022. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023, kanser adalah punca keempat kematian utama di Malaysia yang didapati meningkat daripada 10.5 peratus pada tahun 2021 kepada 12.6 peratus pada tahun 2022.
Banyak faktor risiko yang mencetuskan kanser boleh dielakkan dengan mengubah gaya hidup dan pemakanan. Sebenarnya, apa yang kita makan juga memberi kesan terhadap kesihatan.
Pengambilan makanan yang betul turut memberi pengaruh besar terhadap perkembangan kanser. Banyak makanan mengandungi sebatian bermanfaat yang boleh membantu mengurangkan pertumbuhan kanser.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan lebih banyak makanan tertentu mungkin akan mengurangkan risiko terhadap penyakit ini. Antara 13 jenis makanan yang membantu mengurangkan risiko kanser ialah…
1. BROKOLI

Brokoli mengandungi sulforaphane, sebatian tumbuhan yang terdapat dalam sayur-sayuran yang memiliki sifat anti-kanser. Satu kajian yang dilakukan pada tahun 2010 menunjukkan bahawa sulforaphane mengurangkan saiz dan bilangan sel kanser payudara sehingga 75%. Begitu juga kajian terhadap haiwan pada tahun 2004 mendapati bahawa sulforaphane membantu membunuh sel-sel kanser prostat dan mengurangkan saiz tumor lebih daripada 50%.
2. LOBAK MERAH

Beberapa kajian mendapati bahawa makan lebih banyak lobak merah dikaitkan dengan penurunan risiko beberapa jenis kanser. Sebagai contoh, analisis pada 2015 mendapati makan lobak merah dapat mengurangkan risiko kanser perut sehingga 26%. Kajian lain juga menunjukkan bahawa pengambilan lobak merah yang lebih tinggi dikaitkan dengan peluang 18% lebih rendah untuk menghidap kanser prostat.
3. KEKACANG

Kekacang kaya dengan serat. Beberapa kajian mendapati ia mengurangkan risiko terhadap kanser kolorektal. Kajian pada 2006 mendapati bahawa individu yang mengambil lebih banyak kekacang kering yang dimasak cenderung mempunyai risiko pengulangan tumor yang lebih rendah.
4. BUAH BERI

Beri mengandungi anthocyanins, pigmen tumbuhan dengan sifat antioksidan yang berkaitan dengan pengurangan risiko kanser. Beberapa kajian haiwan dan ujian tabung menunjukkan bahawa pengambilan beri dapat mengurangkan pertumbuhan dan penyebaran beberapa jenis kanser.
5. KAYU MANIS

Kayu manis terkenal dengan manfaat kesihatannya, termasuk kemampuannya untuk menurunkan kadar gula dalam darah dan mengurangkan keradangan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa kayu manis boleh membantu menghalang penyebaran sel kanser dan mengecutkan saiz tumor.
6. KACANG

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan kacang dikaitkan dengan risiko kanser yang lebih rendah. Kajian pada 2015 mendapati bahawa makan lebih banyak kacang dikaitkan boleh menurunkan risiko kematian akibat kanser, khususnya kanser kolorektal, pankreas, dan endometrium.
7. MINYAK ZAITUN

Minyak zaitun penuh dengan manfaat kesihatan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan minyak zaitun membantu mengurangkan risiko kanser. Kajian pada tahun 2011 menunjukkan bahawa mereka yang mengambil minyak zaitun paling banyak mempunyai risiko lebih rendah untuk menghidap kanser payudara dan kanser usus.
8. KUNYIT

Kunyit terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan. Curcumin, bahan aktif dalam kunyit mempunyai kesan anti-radang, antioksidan dan anti-kanser. Kajian menunjukkan bahawa curcumin dapat mengurangkan penyebaran sel kanser kolorektal dan membantu memusnahkan sel-sel kanser pada bahagian kepala dan leher.
9. BUAH CITRUS

Pengambilan buah-buahan citrus seperti lemon, limau nipis, limau gedang dan oren membantu mengurangkan risiko kanser. Satu kajian pada 2010 menunjukkan bahawa mereka yang mengambil buah citrus secara konsisten mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap kanser berkaitan sistem pencernaan dan saluran pernafasan.
10. TOMATO

Lycopene adalah sebatian dalam tomato yang memberikan warna merah dan memiliki sifat anti-kanser. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan tomato yang banyak dalam pemakanan harian membantu mengurangkan risiko kanser prostat.
11. BAWANG PUTIH

Bawang putih mengandungi allicin, sebatian yang terbukti membantu memusnahkan sel kanser dalam kajian ujian tabung yang pernah dijalankan. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan bawang putih yang membantu menurunkan risiko kanser perut dan prostat.
13. IKAN BERLEMAK

Ikan berlemak seperti salmon, kembung, bawal, sardine dan tongkol mengandungi nutrien penting seperti vitamin D dan asid lemak omega-3 yang membantu menurunkan risiko kanser. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan ikan berlemak dapat mengurangkan risiko kanser saluran pencernaan dan kolorektal.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

