PEMILIK Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali gagal lagi dalam permohonannya untuk mendapatkan hak jagaan seorang anak angkatnya berusia dua tahun selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kanak-kanak lelaki itu diserahkan kepada ibu kandungnya.
Peguam Nurainie Haziqah Shafi’i yang mewakili ibu kandung warga tempatan berusia 21 tahun berkata Majistret Norfarahain Roslan memerintahkan hak penjagaan bagi kanak-kanak berkenaan diberikan kepada ibu kandungnya selepas meneliti laporan yang disediakan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Hak penjagaan bagi kanak-kanak itu diberikan kepada ibu kandungnya namun beliau masih terikat dengan tempoh pengawasan pihak JKM selama tempoh dua tahun yang diperintahkan mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan itu yang bermula 9.30 pagi dan berakhir lewat 5.30 petang.
Ketika ditanya berkenaan tempoh pengawasan dua tahun yang diperintahkan mahkamah, Nurainie berkata ia bermakna pihak JKM pada bila-bila masa boleh membuat pemeriksaan mengejut terhadap ibu kandung tersebut.
Menurut peguam itu, kanak-kanak berkenaan telah diserahkan kepada Siti Bainun untuk jagaan selepas dilahirkan.
Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili ibu kandung tersebut, Muhammad Hafiz Hood berkata pendengaran bagi permohonan hak penjagaan tiga lagi kanak-kanak, yang kini di bawah jagaan JKM akan bersambung pada 16 November ini.
Baca artikel berkaitan: Pengasas Rumah Bonda mengaku tak bersalah, dibenar ikat jamin RM12,000
Pada prosiding tersebut, Siti Bainun diwakili peguam Nur A’minahtul Mardiah Mohd Nor.
Pada 2 Ogos lepas, Siti Bainun dan empat ibu kandung memfailkan permohonan melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, memohon perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak yang diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai 2021 dibatalkan serta-merta di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.
Siti Bainun dan empat ibu kandung itu memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.- BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

