DUA lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian peti wang dan telefon bimbit milik seorang penjual nasi lemak di Jalan Lebuh Meru Raya, Ipoh, direman sehingga 12 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 36 tahun itu ditahan di Teluk Intan pada 8 Jun lalu.
Menurutnya, kejadian kecurian terbabit sebenarnya berlaku pada 21 Mei lalu, namun kembali tular di media sosial baru-baru ini selepas rakaman kejadian dikongsi orang ramai.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa sedang membungkus nasi lemak yang dipesan dua lelaki yang datang menaiki motosikal.
“Suspek kemudian mengambil sebuah peti wang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat awam membawa kepada penahanan kedua-dua suspek yang kemudian mengaku terbabit dalam kes itu.
Tambahnya, siasatan lanjut turut mendapati mereka dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah lain di daerah Ipoh.
“Kedua-dua suspek kini direman hingga 12 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muhammad Najib turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan memastikan wang serta barang berharga disimpan di tempat selamat ketika berniaga atau menjalankan urusan harian.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

