DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berbangga dengan keberkesanan dan impak Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Jelas Perdana Menteri, program itu telah menyumbang secara signifikan terhadap usaha kerajaan untuk mempertingkatkan imunisasi pekerja industri seterusnya mengurangkan risiko kluster tempat kerja.
Menurut beliau, kerajaan amat menghargai kerjasama pihak industri dalam menjayakan program vaksinasi sebagai langkah untuk meningkatkan perlindungan dan pencegahan.
“Sehubungan itu, saya dan barisan Kabinet komited dalam menjayakan kelestarian agenda pemulihan ekonomi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2020 di ibu negara malam ini.
Pada majlis itu, Johor Port Berhad dipilih penerima Anugerah Perdana Menteri AKI 2020.
Yang hadir sama, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Baca artikel berkaitan: Lebih satu juta pekerja terima vaksin, operasi PIKAS tamat
Kata Perdana Menteri, kerajaan sedia maklum, sektor swasta merupakan penyumbang utama dalam pembangunan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Sehubungan itu, katanya, sebagai langkah untuk membantu mengurangkan kesan pandemik kepada ekonomi termasuk sektor swasta, kerajaan telah menyediakan sebanyak lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion.
“Susulan kemudahan dan bantuan kerajaan serta pendekatan yang proaktif melalui pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi, Bank Dunia telah mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun 2022 meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding unjuran asal sebanyak 4.2 peratus.
“Unjuran baharu ini menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan yang tepat dan berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada bakatbakat tempatan.
“Bagi terus memastikan kemampanan ekonomi negara, Rancangan Malaysia Ke-12 yang baru dilancarkan telah dijajarkan dengan inisiatif pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial demi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

