Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah berjaya menganjurkan Festival Seni [email protected] Arts Cultural Festival (LACF) yang diadakan pada Oktober lalu dalam norma baru.

LACF menghimpunkan kesenian yang antaranya telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan selain menjadi platform mengetengahkan warisan negara yang hampir pupus.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, penganjuran LACF kali ini diadakan secara dalam talian dan boleh dilayari melalui www.cloudtheatre.com dan halaman Facebook Rasmi JKKN TV.

Untuk tahun ini, LACF menampilkan warisan daripada 15 negara iaitu Malaysia, Australia, Cambodia, China, Filipina, Kanada, Indonesia, Korea Selatan, Mexico, Perancis, Lao PDR, Sri Lanka, Thailand, Turki dan Vietnam.

Sebanyak 18 kesenian yang telah diiktiraf oleh UNESCO telah dipersembahkan seperti Dondang Sayang, Mak Yong dan Silat. Antara kesenian dari luar negara pula seperti ‘Khon’ (Thailand), ‘Darangen’ (Filipina), ‘Tarian klasik Khmer’ (Cambodia), ’Pirekua’ (Mexico), ‘Maloya’ (Perancis), dan ‘Saman’ (Indonesia).

Festival tersebut turut menampilkan persembahan tradisional lain seperti Wayang Kulit, Tarian Piring, Gambus, Gendang Melayu Sarawak, Tari Inai, Joget Gamelan, Sumazau’ dan Sumirid, dan banyak lagi.

Selain persembahan, telah berlangsung juga Pertandingan Nyanyian Lagu-lagu P. Ramlee, Cabaran Joget dan Pertandingan Busana Tradisional Malaysia yang telah menerima sebanyak 690 penyertaan.

Festival ini turut menyelitkan program keilmuan seperti Webinar yang membincangkan pelbagai topik dengan panel-panel bertauliah. Antaranya ialah ‘Perayaan Wangkang antara Mitos dan Kepercayaan’, ‘Simbolisme Daun Sirih dalam Perubatan Tradisional Masyarakat Melayu’ dan ‘Amalan Adat Berpantang bagi Wanita Selepas Bersalin’.

Penonton juga berpeluang mempelajari masakan tradisional dalam ‘Program Jom ke Dapur Warisan’ yang sekaligus membantu mempromosi dan menjual produk-produk Malaysia.

Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, festival seperti ini mampu menjadi agenda utama dalam memacu seni budaya khususnya mengentengahkan kesenian yang telah diiktiraf UNESCO, Warisan Kebangsaan dan kesenian hampir pupus.

Selain itu, MOTAC akan terus komited dalam usaha-usaha memelihara khazanah seni negara agar terus subur. Penglibatan peserta luar negara juga menjadi satu titik tolak dalam memperkukuhkan persahabatan negara yang mengambil bahagian, dan seterusnya mempromosikan keunikan budaya negara masing-masing.

Walaupun diadakan dalam norma baru dan secara dalam talian, festival ini telah berlangsung dengan sukses dan menerima banyak penyertaan. Ternyata pandemik yang melanda tidak mencacatkan usaha JKKN dalam memartabatkan seni budaya dan warisan negara.

Bagi yang ketinggalan untuk menonton festival ini, jangan risau. Anda masih boleh menyaksikannya semula di laman Facebook JKKN TV.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram