Andre Sequerah (kiri) dan senarai 20 syarikat terpilih menyertai program Kohort 3.

AGENSI penggalak pembangunan usahawan, ScaleUp Malaysia mengumumkan 20 syarikat terpilih untuk menyertai program Kohort 3 yang diumumkan Ogos lepas selepas menerima 200 permohonan daripada syarikat pemula tempatan dan luar negara seperti dari Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Singapura, Jepun dan Mesir.

Mengulas mengenai pemilihan 20 syarikat tersebut, Rakan Pengurusan (Managing Partner) ScaleUp Malaysia, Andre Sequerah berkata; “Kami memilih syarikat-syarikat ini berdasarkan keupayaan mereka membangunkan penyelesaian berasaskan norma baharu dan keupayaan melaksanakan rancangan perniagaan semasa pandemik.”

Syarikat-syarikat tersebut terdiri daripada pelbagai segmen dan kumpulan perniagaan, termasuk industri vertikal seperti teknologi pendidikan, kewangan, pemprosesan makanan, media, pembuatan, keselamatan siber dan e-dagang.

Walaupun, salah satu syarat untuk menyertai program anjuran ScaleUp Malaysia adalah syarikat perlu mempunyai pendapatan minimum sebanyak RM300,000 dalam masa 12 bulan yang lepas tetapi kesemua mereka yang terpilih telah mempunyai rekod perniagaan cemerlang apabila masing-masing mencatatkan pendapatan purata RM1.2 juta tahun lepas.

“Berada dalam tahap pertumbuhan yang penting, mereka perlu mempunyai tahap sokongan yang betul dalam membina perniagaan yang mampan, berskala dan mempunyai pelan hala tuju yang jelas untuk memperluaskan perniagaan di luar negara. Ini telah menjadi matlamat utama kami untuk semua peserta Kohort 3,” tambah Sequerah.

Menyertai ScaleUp Malaysia sebagai rakan kerjasama dalam Kohort 3 adalah dua firma modal teroka antarabangsa iaitu Quest Ventures dan Indelible Ventures yang akan menjalankan program pembangunan perniagaan melalui trek tersendiri bersama syarikat-syarikat terpilih.

Bagi Quest Ventures, firma serantau berpangkalan di Singapura, tahun ini adalah kali kedua syarikat itu menjalin kerjasama dengan ScaleUp Malaysia.

Sebelum ini, syarikat tersebut telah melabur dalam 10 syarikat daripada program Kohort Scale-Up Malaysia dan menjamin akan terus melakukan demikian dalam program Kohort 3 kali ini yang menunjukkan komitmen dan keyakinan mereka terhadap syarikat dan pasaran negara ini. Quest Ventures juga telah memilih 15 syarikat untuk menyertai trek pembangunan mereka kali ini.

BERITA BERKAITAN ScaleUp Malaysia lancar program Kohort 3, bantu usahawan masuki pasaran global

Jeffrey Seah

Rakan Niaga Quest Ventures, Jeffrey Seah berkata, kebiasaannya pengasas syarikat di Malaysia adalah agak senang didekati dan tidak pernah menghadapi masalah mendapatkan sumber pelaburan kewangan.

Bagaimanapun, katanya, cabaran sebenar syarikat-syarikat tersebut adalah untuk mendapatkan pelabur yang mempunyai rangkaian sedia ada dan mampu membawa perniagaan mereka memasuki pasaran luar negara dengan segera.

“Pengenalan terhadap perniagaan tersebut adalah dengan menyediakan model pengesahan produk dan penetapan harga yang akan membuka potensi syarikat-syarikat Scaleup, serta membimbing mereka mendapatkan pembiayaan modal teroka bagi peringkat perniagaan seterusnya,” katanya.

Katanya, pengalaman Quest Ventures berurusan dengan pengasas dan syarikat Malaysia telah membuahkan hasil yang bermakna kerana kini memahami mereka mempunyai potensi besar tetapi tidak semuanya dapat bimbingan yang baik bagi membolehkan syarikat memasuki pasaran Asia Tenggara.

Syarikat yang dipilih untuk menyertai trek Quest Ventures adalah Jazro Tech, MADCash, Traitily, GuruInovatif, SpareXHub, Nanka, Vireserve, Open Academy, Hav., PantangPlus, J8 Autism, Graze Market, WeGo, Wa Sushi dan Biztech.Asia.

Sementara itu, Indelible Ventures, sebuah syarikat dana teroka berpangkalan di AS yang berminat untuk melabur dalam syarikat pemula B2B Malaysia, mereka telah memilih lima syarikat pemula yang diyakini mempunyai potensi memasuki pasaran antarabangsa untuk menyertai trek program pembangunannya.

Kevin Brockland

Rakan Pengurusan Indeble Ventures, Kevin Brockland berkata; “Syarikat-syarikat ini telah menunjukkan bahawa mereka mampu membina produk bertaraf dunia dan kini berada pada titik peralihan. Saya berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk meletakkan syarikat pemula Malaysia ke peringkat serantau dan global.”

Syarikat yang dipilih untuk menyertai trek Indelible Ventures adalah Midwest Composites, Howuku, Q3 Payments, GoCloud dan Netptrix.

Kesemua 20 syarikat terpilih menyertai Kohort 3 itu akan menjalani proses pembangunan intensif selama empat bulan dengan tujuan untuk membantu mereka mengenal pasti dan menangani jurang dalam model dan strategi perniagaan.

Pasukan ScaleUp Malaysia dengan kerjasama Quest Ventures dan Indelible Ventures, pasukan ScaleUp Malaysia akan menggunakan elemen-elemen seperti The ScaleUp Playbook, membina produk berskala, pemodelan kewangan, merangka naratif perniagaan, strategi pemasaran dan banyak lagi melalui latihan berasaskan kumpulan dan sesi bimbingan 1-1.

Akhirnya pada Januari tahun depan, 10 syarikat yang berjaya akan menerima tawaran pelaburan sebanyak RM250,000 untuk meneruskan pertumbuhan perniagaan mereka dengan bantuan ScaleUp Malaysia, Quest Ventures dan Indelible Ventures.

Berikut ringkasan mengenai operasi 20 syarikat terpilih:

1 – SpareXHub
SpareXHub menyediakan pasaran e-dagang untuk pasaran alat ganti kereta tulen. Dengan keyakinan ‘Setiap Alat Ganti Ada Keretanya’ (Every Part Has A Car), mereka menghimpunkan stokis automotif, bengkel bebas dan pemilik kereta di dalam satu platform. Platform pertama seumpamanya di Malaysia itu menawarkan diskaun terbaik untuk produk alat-alat ganti kereta tulen.

2 – Biztech.Asia
Biztech merupakan platform silang untuk media dan pemasaran B2B yang membolehkan melakukan pemasaran ‘perniagaan ke perniagaan’ melalui kandungan video & podcast berjadual, termasuk untuk tujuan perhubungan dan penganjuran acara permainan korporat dan membina perhubungan.

3 – GuruInovatif
Guruinovatif merupakan platform yang menawarkan sumber-sumber dalam talian yang lengkap untuk Pembangunan Profesional Guru-guru.

4 – Hav.Life
Hav.Life merupakan platform yang menawarkan ganjaran kepada pengguna untuk kekal cergas!

5 – Howuku
Howuku menawarkan syarikat baru platform pengoptimuman web ‘semua-dalam-satu’ dengan rumusan analisis trafik. Mereka menyediakan satu set alat ujian UX yang mudah digunakan bagi membantu syarikat memahami pengunjung laman web dan seterusnya boleh digunakan untuk meningkatkan keuntungan perniagaan dan membina hubungan dengan pelanggan.

6 – Aoikumo | KumoDent
GoCloud Technologies merupakan pembangun kepada sistem pengurusan aplikasi Aoikumo dan Kumodent. Mereka merupakan pembekal SaaS untuk industri kecantikan dan perubatan estetika.

7 – Nanka
Nanka menghasilkan produk berasaskan tumbuhan. Mereka menggunakan isi daripada buah nangka untuk dijadikan alternatif yang baik kepada pemprosesan makanan segera di pasaran, memupuk pendekatan baharu dalam pengambilan makanan ‘sedia dimasa dan ‘sedia dimakan.’

8 – J8 Autism Athletics
J8 menyediakan perkhidmatan kecergasan yang khusus kepada komuniti neurodiverse dengan set kemahiran untuk berasimilasi secara sosial, mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal keluarga dan menjalani kehidupan yang lebih sihat.

9 – Jazro
Jazro merupakan syarikat pendidikan robotik yang bertujuan untuk membangunkan bakat digital dalam bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan & matematik (STEM) dengan kandungannya khusus untuk pelajar berumur 5-17 tahun.

10 – MADCash
MADCash merupakan platform digital yang menjejaki kesan dalam pemberian pinjaman mikro tanpa faedah yang diberikan kepada usahawan mikro wanita yang tidak mempunyai rekod perbankan.

11 – Midwest Composites
Midwest Composites merupakan Rakan Kongsi Komposit Kejuruteraan. Syarikat ini membuat reka bentuk dan mengeluarkan komposit yang canggih berasaskan bio untuk pelanggan yang ingin menggunakan bahan futuristik dalam produk mereka.

12 – Neptrix
Neptrix merupakan pembekal Saas untuk industri pengeluaran. Mereka menyediakan teknologi ERP untuk industri kecil dan sederhana (IKS) menjalankan perniagaan beroperasi seperti sebuah kilang pintar yang lebih produktif dan menjimatkan kos.

13 – Open Academy
Open Academy, cetusan idea kepada OpenMinds, merupakan platform pendidikan yang menyediakan program, latihan dan kandungan terbaik yang disediakan oleh pengamal industri.

14 – Pantang Plus
PantangPlus merupakan platform tempahan melalui web yang menyediakan perkhidmatan terapi tradisional selepas bersalin. Platform tersebut menyediakan perkhidmatan kepada ibu hamil yang sedang mencari pakar terapi wanita berpantang dan menganggap mereka seperti ‘Grab’ untuk perkhidmatan wanita berpantang atau penjagaan selepas bersalin.

15 – Q3 Payment
Q3 OPC (Omni Payment Connector) merevolusikan sistem pembayaran dengan menyediakan rumusan standard yang saling berhubungan. Ia menjalin kerjasama dengan penerima pembayaran pilihan di rantau ini untuk penyediaan sistem laporan penyelarasan pembayaran automatik dalam masa nyata dengan paparan mudah digunakan.

16 – Graze Market
Graze Market bertujuan untuk merapatkan jurang antara masalah sisa makanan dan keperluan mereka yang kelaparan dengan memastikan barangan segar yang tidak sempurna daripada petani atau pengedar tidak dibuang begitu sahaja tetapi sebaliknya menjadikannya sebagai produk yang boleh dijual dengan harga diskaun.

17 – Solaku
WeGo merupakan pasaran dalam talian untuk pelbagai perkhidmatan termasuk penghantaran dan perkhidmatan makanan serta barangan keperluan yang memfokuskan kepada bandar yang kurang diberi perkhidmatan tersebut di Malaysia.

18 – Traitily
Traitily merupakan platform pengambilan pekerja secara digital yang dapat digunakan oleh majikan untuk menilai tingkah laku calon yang memohon pekerjaan dan seterusnya menapis mereka yang betul-betul sesuai dengan kerja yang ditawarkan sahaja.

19 – Vireserve
VireServe merupakan pembekal perkhidmatan terurus yang memfokuskan pada rumusan IT dan keselamatan siber. Platform ini boleh digunakan sebagai alat untuk pekerja sambilan dan/atau perunding untuk melaksanakan perundingan pematuhan sistem IT dan seterusnya menjadi ‘lead generation’ kepada pembekal perkhidmatan (teknologi utama & penyepadu sistem).

20 – WA Sushi
Wa Sushi merupakan syarikat e-dagang F&B dengan menyediakan ‘Penghantaran untuk Makanan yang Berkualiti”. Keutamaan mereka adalah masakan Jepun yang berkualiti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram