Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan suspek yang ditahan hujung bulan lalu pada sidang media di Johor Bahru hari ini./ Gambar FB Polis Johor.

EMPAT lelaki ahli kumpulan Ah Long dipercayai terlibat kes ugutan terhadap Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon diberkas pada 27 dan 31 Oktober lepas.

Kediaman dan dua kereta milik Chua disimbah cat merah selain terdapat satu nota ugutan ditinggalkan di rumahnya di Kulai, kira-kira 11.15 malam, 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan itu hasil risikan pihaknya yang turut melibatkan dalang kes berkenaan.

Katanya, tiga individu ditahan di sekitar Permas Jaya dan Taman Setia Indah manakala seorang lagi suspek yang juga dalang ditahan di Taman Abad, masing-masing pada 1 pagi (27 Oktober) dan 2.45 petang (31 Oktober).

“Rumah Chua disimbah cat merah dan diberi notis ugutan, dipercayai disebabkan beliau banyak membantu mangsa-mangsa Ah Long, sekali gus menyebabkan mereka tidak berpuas hati.

“Susulan itu, kita melakukan risikan dan berjaya mengesan serta menangkap individu terlibat,” katanya kepada dalam sidang media hari ini.

Ayob berkata, hasil semakan rekod jenayah mendapati dua daripada empat individu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah.

“Dengan tangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan lapan kes ugutan jenayah dan simbah cat yang dilakukan kumpulan ini,” katanya.

Selain itu, sebanyak sembilan telefon bimbit, empat keping nombor pendaftaran kenderaan dan dua bilah pedang samurai turut dirampas dalam serbuan itu.

Ayob Khan berkata bagaimanapun tiga individu berkenaan telah dibebaskan atas jaminan polis, manakala seorang lagi suspek berusia 34 tahun, akan dituduh di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kulai esok.

Pada 7 Oktober lepas, kediaman dan dua kereta milik Chua disimbah cat merah selain terdapat satu nota ugutan ditinggalkan di rumahnya di Kulai, kira-kira 11.15 malam.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram