POLIS menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki disyaki menyamar sebagai penjawat awam yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan kira-kira pukul 6.58 petang, semalam melibatkan seorang lelaki menyamar sebagai penjawat awam.
Menurut beliau, suspek telah dikesan memakai pakaian menyerupai uniform pasukan keselamatan.
“Lelaki berkenaan juga didapati bergambar dengan berlatarbelakang tulisan seperti di pejabat kerajaan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan bagi kesalahan perbuatan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Aidah Yem di talian 010-2176278 bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik individu yang menyamar sebagai penjawat awam untuk memperdayakan orang ramai.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan menerusi talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

