PADA Mei tahun 2018, seorang gadis dari New South Wales, Australia membuat satu pengakuan yang mengejutkan. Gadis berusia 24 tahun bernama Ari Kala itu mendakwa hidungnya mampu mengesan saat kematian seseorang manusia.

Menurut Kala, dia mula menyedari kebolehan luar biasa ini sejak berusia 12 tahun. Ia bermula sewaktu dia mengunjungi rumah bapa saudaranya yang ketika itu sedang sakit tenat.

Sewaktu di sana, dia terhidu bau yang kurang menyenangkan. Bau itu mula dikesan pada sebelah malam sebelum bapa saudaranya meninggal dunia. Lebih aneh, hanya Kala yang menghidu bau itu, sedangkan ahli keluarganya yang lain tidak pula terhidu bau aneh tersebut.

Kala yang tidak berpuas hati cuba menjejaki dari mana arah bau itu datang. Dari satu sudut ke satu sudut lain, Kala mengikuti arah bau itu sehinggalah ia semakin kuat apabila tiba di bilik bapa saudaranya yang sedang terlantar. Keesokannya, bapa saudaranya itu meninggal dunia.

Bagaimanapun, dia yang pada ketika itu masih kanak-kanak tidak mengambil serius tentang kejadian tersebut dan hanya membiarkan ia berlalu begitu sahaja.

Namun, sangkaan gadis ini meleset. Sejak kejadian itu, dia terus dihantui bau-bau yang kurang menyenangkan. Dakwanya lagi, perkara sama akan berlaku jika dia berada berdekatan dengan individu berpenyakit atau warga emas. Tidak lama selepas kemunculan bau aneh itu, orang tersebut pasti akan meninggal dunia. Ia berlaku berulang-ulang kali dan terlalu banyak untuk dikira.

Ari Kala. Gadis ini mendakwa hidungnya mampu mencium bau aneh yang menjadi tanda kematian akan berlaku.

Oleh sebab itu, Kala mula lali dengan kemunculan bau aneh itu dan meneruskan hidup seperti biasa. Selepas bertahun-tahun lamanya, gadis ini mulai sedar bahawa dia memiliki keistimewaan berbanding manusia normal lain. Justeru, dia bertekad menggunakan kelebihan tersebut untuk membantu orang lain.

Bagaimanapun, Kala menegaskan kebolehan psikiknya ‘menghidu’ kematian tidak akan disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik seperti menilik kematian seseorang manusia. Sebaliknya, ia akan dipraktikkan dalam bidang psikik yang diceburinya pada masa sekarang.

Sebelum terlibat secara langsung dalam bidang psikik dengan kebolehannya ini, Kala pernah bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma perundangan di Sydney. Namun, dia mengambil keputusan berhenti kerja dan mulai berkecimpung dalam dunia psikik.

Menurutnya, semua manusia memiliki kemahiran psikik. Malangnya, ia tidak dikuasai secara sepenuhnya. Percaya atau tidak, kebolehan istimewa ini boleh dikesan sejak usia kanak-kanak lagi. Kala berkata demikian berdasarkan pengalaman sewaktu zaman kanak-kanak beliau. Pada ketika itu, dia sudah memiliki kebolehan membaca emosi orang lain serta kerap mengalami mimpi yang bertukar menjadi kenyataan.

Namun, dia berasa kesal ekoran sesetengah masyarakat yang memandang negatif tentang kemahiran tersebut dan menganggap ia perkara yang bertentangan dengan norma kehidupan.

Sebab itu ketika zaman kanak-kanak, Kala mengakui tidak mendedahkan keistimewaan yang dimilikinya itu. Dia bimbang sesuatu kejadian buruk mungkin menimpa dirinya.

Bukan semua orang suka dengan kelebihan begini. Sejak membuat pengakuan boleh menghidu kematian, Kala mendakwa telah dipulaukan oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya. Bagaimanapun, dia tidak menyesal dengan pengakuannya itu.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen