SEBANYAK 6.43 juta premis di seluruh negara telah disediakan dengan akses gentian optik hingga suku ketiga tahun ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia adalah penambahan sebanyak 1.48 juta premis dari 4.95 juta pada suku ketiga tahun lepas sejak pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 bermula September 2020.
Beliau berkata dari sudut kelajuan jalur lebar mudah alih pula telah meningkat dari 25 megabit per saat (mgps) kepada 31.34 mgbps dan dijangka cecah 35mgbps.
“Perluasan liputan jalur lebar 4G meningkat daripada 91.8 peratus kepada 94.39 peratus di kawasan berpenduduk hingga suku tahun ketiga,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai status penganugerahan tender di bawah Program JENDELA, Annuar berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menyerahkan Surat Pelantikan Pemberi Perkhidmatan Sejagat dan Surat Niat bagi program JENDELA Fasa 1 kepada pemegang-pemegang lesen berkenaan pada 27 Okt lepas.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan menara yang terlibat giat dilaksanakan dan dijangka siap secara berperingkat bermula pada suku keempat tahun 2022.
Bagaimanapun, katanya kepantasan serta kemampuan pelaksanaan menara-menara berkenaan bergantung kepada kelulusan yang dikeluarkan pihak tertentu seperti pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“SKMM akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri bagi mempermudahkan urusan pelaksanaan dan pembinaan menara-menara itu,” katanya.
Selain pembinaan menara telekomunikasi dan penyediaan akses internet melalui satelit, Annuar berkata pihak kerajaan akan melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP), hab gentian optik yang juga satu daripada alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluas ke kawasan berpenduduk.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhomat, sebanyak RM700 juta yang diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2022 adalah diperuntukkan kepada projek PoP merangkumi 630 kawasan berhampiran sekolah luar bandar dan pedalaman dan 47 kawasan perindustrian di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menyentuh perluasan liputan telekomunikasi di Sabah dan Sarawak, Annuar berkata peruntukan PoP bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah berjumlah RM157 juta, merangkumi liputan bagi kawasan-kawasan berpenduduk berhampiran 119 sekolah.
“Secara keseluruhan, Sabah dan Sarawak akan menerima peruntukan hampir RM2 bilion untuk pelaksanaan projek PoP ini yang akan meliputi lebih 1,436 kawasan sekolah dan sekitarnya yang akan dilaksanakan dalam fasa 1 bermula 2022 dan fasa 2 bermula 2023 hingga 2025,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

