MAJORITI pengguna air domestik di Pulau Pinang dijangka akan menanggung pertambahan kecil dalam bil bulanan apabila pelarasan tarif air baharu berkuat kuasa mulai 1 Julai ini selepas ditangguhkan selama setahun.
Langkah pelaksanaan semula kadar baharu oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu membabitkan pengguna domestik serta bukan domestik, namun kerajaan negeri memberi jaminan struktur tarif yang diperkenalkan masih mengekalkan kadar antara paling rendah di negara ini.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kira-kira 82 peratus pengguna domestik di Pulau Pinang yang menggunakan sehingga 35 meter padu air sebulan hanya akan menyaksikan peningkatan kecil dalam bil bulanan mereka.
“Bagi penggunaan 20 meter padu pertama setiap bulan, tarif hanya diselaraskan daripada 62 sen kepada 65 sen bagi setiap meter padu.
“Sebagai contoh, pengguna domestik yang menggunakan 35 meter padu sebulan akan membayar RM32.50 berbanding RM29.95 sebelum ini, manakala pengguna dengan penggunaan lebih rendah akan mengalami peningkatan bil yang lebih kecil,” katanya.
Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata, meskipun berlaku pelarasan tarif, kadar air domestik di Pulau Pinang masih kekal antara yang terendah di negara ini.
Katanya, purata tarif domestik bagi penggunaan 35 meter padu pertama sebulan adalah sekitar 93 sen bagi setiap meter padu, lebih rendah berbanding purata nasional RM1.12, sekali gus menjadikannya kedua terendah di Malaysia selepas Perak.
Bagi pengguna bukan domestik pula, beliau berkata, purata kadar baharu untuk 500 meter padu pertama sebulan ditetapkan pada RM2.28 bagi setiap meter padu, yang juga kekal antara kadar terendah di negara ini.
“Bagi kira-kira 27 peratus pengguna bukan domestik seperti kilang, hotel, pusat beli-belah, premis perniagaan dan pejabat kerajaan yang menggunakan 500 meter padu atau kurang sebulan, peningkatan maksimum bil air adalah RM77.70 atau sekitar RM2.59 sehari.
“Kadar ini masih lebih rendah daripada purata nasional RM2.85 dan kekal antara yang terendah di Malaysia,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

