SEBANYAK 3,208 peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan disediakan kepada anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia sekali gus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Katanya, peluang pekerjaan itu meliputi sektor pelabuhan, logistik, pengangkutan bas serta industri rel yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menurut Loke, inisiatif berkenaan bukan sahaja membuka laluan kerjaya kepada anggota dan veteran ATM selepas tamat perkhidmatan, malah membantu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
“Bagi saya, kejayaan TVET adalah apabila latihan yang diberikan berjaya diterjemahkan kepada pekerjaan sebenar, pendapatan sebenar dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.
“Kita bukan sekadar menyediakan latihan, tetapi sedang membina laluan kerjaya, membuka peluang pekerjaan dan membina masa depan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik MOT dan Mindef Dalam Memperkasa TVET, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, anggota dan veteran ATM memiliki pelbagai kelebihan yang diperlukan industri termasuk disiplin, integriti, daya tahan serta pengalaman bekerja dalam persekitaran yang menuntut pematuhan dan tahap keselamatan tinggi.
Katanya, semua nilai itu menjadikan golongan berkenaan aset penting kepada sektor pengangkutan negara yang sedang berkembang.
Dalam pada itu, beliau berkata, MOT juga sedang mempercepat serta memperkemaskan proses pertukaran lesen pemanduan tentera kepada lesen pemanduan awam bagi memudahkan peralihan anggota dan veteran ATM ke sektor awam.
“Ramai anggota ATM mempunyai pengalaman bertahun-tahun mengendalikan pelbagai jenis kenderaan dan aset pengangkutan.
“Kita mahu memastikan kemahiran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dengan lebih mudah tanpa birokrasi yang tidak perlu,” katanya.
Loke berkata, permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam sektor pengangkutan dijangka terus meningkat didorong pembangunan industri rel, pertumbuhan sektor logistik, pengembangan kapasiti pelabuhan dan peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam.
Sehubungan itu, katanya, MOT komited memperkukuh kerjasama dengan institusi TVET, industri dan agensi kerajaan bagi menjadikan sektor pengangkutan sebagai antara destinasi utama kerjaya graduan TVET.
Beliau berkata, kolaborasi rentas kementerian yang membabitkan bakat daripada ATM, penyelarasan pembangunan bakat oleh PERHEBAT, laluan kerjaya disediakan MOT dan peluang pekerjaan oleh industri menjadi contoh bagaimana pendekatan bersepadu kerajaan mampu memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara secara keseluruhan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

