3. Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almahrum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli bergambar bersama barisan penerima memorandum persefahaman.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi hari ini memeterai kerjasama dengan Muzium Pahang melalui Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al Sultan Abdullah (Al-Asar) bagi penyelidikan demi memajukan ilmu dalam bidang berkaitan warisan sejarah dan tamadun negara.

Menurut Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu dilihat bertepatan dengan hasrat universiti pendidikan terulung negara bagi mendukung cita-cita memartabatkan warisan dan sejarah tanahair melalui kepakaran yang sedia ada di fakulti dan pusat pengajian tersebut.

Md Amin menerima penyerahan memorandum daripada Khairuddin.

“Sebagai universiti pendidikan yang hampir seabad penubuhannya, UPSI sentiasa cakna dalam menyokong usaha memartabatkan warisan sejarah melalui hasrat menjadi pusat pengurusan penyelidikan, perundingan, inovasi dan pengkomersilan yang cemerlang. Justeru, UPSI amat menyokong usaha pusat kajian sejarah Al-Asar dengan menggembeleng seluruh bidang kepakaran berkaitan demi menyokong kelestarian warisan sejarah negara,” jelasnya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Perbadanan Muzium Negeri Pahang di hotel Hyatt Regency, Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.

Majlis memorandum persefahaman turut mendapat perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almahrum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mencemar duli menyaksikan penyerahan perjanjian di sini, hari ini.

Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff (duduk dua dari kanan) menandatangani memorandum persefahaman sambil disaksikan Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Khairuddin Mahmud (duduk tiga dari kanan).

UPSI akan menjalankan tiga buah kajian iaitu melalui Geran Pendigitalan Korpus Lisan Negeri Pahang yang melibatkan dialek lisan masyarakat negeri dan orang asli negeri Pahang oleh Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad, Penyelidikan Kitab Ilmu Fardu Ain oleh Syeikh Muhammad Syiabuddin (Tuan Teh) yang akan membukukan ilmu rujukan fardu ain bagi rujukan seluruh masjid dan surau negeri Pahang oleh Profesor Madya Dr Muhammad Anas Al Muhsin.

Selain itu UPSI juga akan menjalankan penyelidikan Pendidikan Pelancongan Muzium yang melibatkan tinjauan di seluruh muzium peringkat negeri dan negara. Tinjauan ini turut menyelami aspek sikap, pendidikan dan pelancongan masyarakat terhadap muzium oleh Dr. Muhammad Fadzllah Zaini.

Selain UPSI, Perbadanan Muzium Negeri Pahang turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Kolej Universiti Yayasan Pahang.