JIKA anda berasal dari Jempol, Negeri Sembilan, pernahkah anda mendengar kisah tentang satu laluan purba di daerah tersebut?

Sekitar abad ke-13, terdapat satu laluan telah dibina di kawasan pedalaman daerah Jempol. Laluan tersebut dikenali sebagai Jalan Penarikan. Pasti ramai yang pernah mendengar nama itu, tetapi mungkin generasi sekarang ramai yang tidak tahu laluan terbabit mempunyai kaitan rapat dengan laluan sutera yang merentasi Pantai Barat Semenanjung  ke Pantai Timur satu ketika dahulu.

Berdasarkan cerita lisan, laluan yang turut dikenali sebagai ‘Londar Siam’ itu merupakan jalan darat tertua di Semenanjung Malaysia dan merupakan lokasi penting pada zaman dahulu.

Menurut informasi yang kami perolehi sebelum ini sewaktu menemubual Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Jalan Penarikan merupakan sebuah laluan daratan yang digunakan oleh para pedagang dari Sumatera untuk menjalankan perniagaan di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Melalui jalan ini, mereka dapat membuat pintasan untuk memendekkan perjalanan bagi menyeberangi kawasan Pantai Timur ke Pantai Barat.

Merangkumi tujuh buah kawasan, laluan ini dikatakan bermula dari sebatang sungai yang dikenali sebagai sungai Muar. Menerusi sungai ini, laluan tersebut akan bertemu dengan sebatang lagi sungai yang dikenali sebagai sungai Jempol.

Kemudian, laluan itu akan melintasi sebuah pangkalan yang terletak di Kampung Bukit Laka, Negeri Sembilan. Bermula dari pangkalan ini, perahu atau jong yang digunakan oleh para pedagang ketika itu akan ditarik untuk melintasi satu jalan darat yang berpaya sehingga ke sebuah lagi pangkalan yang terletak di sungai Serting.

Menerusi sungai tersebut, mereka akan melalui dua batang sungai iaitu Sungai Bera dan Sungai Pahang sebelum sampai ke lokasi terakhir yang terletak di bandar Pekan, Pahang.

Sungai Muar.

Selain menjadi laluan dagang pada ketika itu, Jalan Penarikan turut menjadi laluan utama yang digunakan oleh bala tentera dan pengembangan agama Buddha pada zaman kerajaan Langkasuka dan Srivijaya pada abad keenam hingga ke-13 Masihi. Jalan tersebut juga dikatakan pernah dilalui oleh Sultan Mahmud Shah yang berundur ke Pahang selepas Melaka diserang oleh Portugis.

Berdasarkan ekskavasi yang pernah dilakukan, terdapat beberapa artifak yang ditemui sepanjang laluan purba ini. Antaranya, sebuah tapak yang dipercayai pernah dijadikan surau dan beberapa makam lama yang menunjukkan bukti kedatangan pedagang di kawasan tersebut.

Selain itu, penemuan lain seperti blok-blok batu yang dipercayai digunakan sebagai tempat mengambil wuduk dan pengampu pelantar tiang surau turut ditemui. Penemuan ini boleh menyokong fakta wujudnya sebuah rumah ibadat yang dibina sekitar tahun 1700 Masihi.

Jalan Penarikan di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), juga pernah melakukan kajian terhadap laluan purba ini. Kajian menjejaki laluan tersebut mulanya dilakukan oleh Allahyarham Profesor Dr. Norhalim Ibrahim.

Berdasarkan kajian, laluan tersebut merentasi bahagian Pantai Timur sehingga ke Pantai Barat di Semenanjung Malaysia. Melalui dua buah kampung iaitu Kampung Tambangan dan Kampung Lubuk Lading, laluan yang dijejaki meliputi enam buah kawasan iaitu Pekan, Kuala Bera,Tasik Bera, Bahau serta tiga sungai utama iaitu, sungai Serting, sungai Jempol dan sungai Muar.

Laluan Penarikan itu mempunyai kesan istimewa kerana bukan sahaja terkenal dari segi politik, budaya dan sosial malah pernah digunakan beberapa tokoh nasionalis.

Sebagai contoh, pahlawan Melayu iaitu Mat Kilau pernah menggunakan jalan Penarikan untuk pulang ke kampungnya di Pahang. Begitu juga sebagaimana yang dihikayatkan bahawa pahlawan Hang Tuah juga menggunakan laluan ini untuk ke timur dan barat Semenanjung Malaysia.

Mat Kilau.

Selain itu, pedagang dan pengembara Islam juga menggunakan laluan purba ini untuk menyebarkan ajaran agama Islam kepada penduduk sepanjang laluan penarikan yang dilalui.

Ini terbukti dengan adanya sebuah tapak lama sebuah surau di Kampung Serdang, Kuala Pilah yang membuktikan wujudnya kegiatan agama yang tersebar melalui laluan penarikan itu.

___________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen