Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri), Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri sekali), Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (kanan sekali) dan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim (dua dari kanan) ketika hadir melancarkan Pas Keluarga Malaysia 2021 di KL Sentral, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pas Keluarga Malaysia yang membolehkan seramai empat orang dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga cuma RM15.

Menurut Perdana Menteri, ini bermakna setiap seorang di dalam kumpulan ini hanya membayar RM3.75 untuk menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan BRT di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.

Katanya, inisiatif pengenalan Pas Keluarga Malaysia ini bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat beli-belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya percaya kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan ketersambungan adalah penting bagi mobilisasi Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pas Keluarga Malaysia 2021 dan Tinjauan Mesra di LRT bertempat di KL Sentral hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Yang hadir sama, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azharuddin Mat Sah.

Kakitangan Prasarana, Fatim Afiqah Arzmi menunjukkan replika Pas Keluarga Malaysia pada Majlis Pelancaran Pas Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di KL Sentral, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Jelas Perdana Menteri, pada 7 November lalu, beliau telah melancarkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021 yang menjadi visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan konteks pendekatan kekeluargaan.

Menurutnya, pengangkutan awam juga tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting dalam menjayakan Keluarga Malaysia kerana selain menjadi alat penyatuan bangsa, ia juga menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, sebentar tadi saya sendiri berpeluang menaiki tren Laluan Kelana Jaya yang bertemakan Keluarga Malaysia dari Stesen Bangsar ke KL Sentral.

“Selain tren, saya difahamkan bahawa Prasarana turut memperagakan imej ‘Keluarga Malaysia’ dengan membuat balutan bas atau ‘bus wrap’ untuk dua unit bas Rapid KL sebagai sokongan kepada kempen ‘Keluarga Malaysia’,” ujar Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai Aiskrim POPS-LAB selepas hadir melancarkan Pas Keluarga Malaysia di KL Sentral, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Ismail Sabri berkata, sejak bermulanya pandemik COVID-19, beliau sedia maklum bahawa Prasarana telah mengambil beberapa inisiatif bagi membantu para usahawan kecil untuk meningkatkan hasil jualan peniagaan mereka.

Katanya, bertemakan Rapid KL Supports #KeluargaMalaysia, Kumpulan Prasarana menerusi Divisyen Komunikasi Strategik dan Pemasaran menggunakan platform-platform media sosial kendaliannya, untuk mempromosikan produk peniaga-peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk di hab-hab bas.

Baca: RM5 juta dana Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia – PM

PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia

“Di bawah kempen itu, Prasarana bukan sahaja membeli produk dan mencipta kandungan media sosial agar liputan percuma dan promosi secara agresif dapat diberikan kepada peniaga-peniaga, malah mereka turut dibimbing dan diberi bantuan kepakaran.

“Ia merangkumi aspek pemasaran, promosi dan dan penjualan atas talian supaya perniagaan boleh berkembang dengan baik dan menularkan produk mereka sekali gus meningkatkan hasil jualan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Prasarana atas tanggungjawab sosial korporat yang telah diberikan bagi membantu para peniaga menjana semula ekonomi mereka yang terkesan akibat pandemik,” jelasnya.

Tambah Perdana Menteri, beliau juga sukacita mengumumkan bahawa Prasarana, menerusi anak syarikatnya syarikatnya Prasarana Integrated Development Sdn Bhd atau PRIDE akan menawarkan “Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana” mulai bulan Mac 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ketika hadir melancarkan Pas Keluarga Malaysia 2021 di KL Sentral, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Katanya, menerusi pakej ini, sejumlah 20 lot perniagaan, bersaiz antara 80 hingga ke 400 kaki persegi di beberapa laluan akan ditawarkan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana secara cabutan lot.

“Ia melibatkan stesen Laluan Kelana Jaya iaitu stesen Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.

“Pemohon yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selama setahun termasuk pengecualian sewa selama tiga bulan. Perincian dan permohonan untuk “Pakej Transit” akan diuar-uarkan oleh PRIDE dalam masa terdekat.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana untuk mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar dapat melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam ucapannya itu juga, Ismail Sabri berkata, kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang terbaik serta menjaga kebajikan rakyat.

“Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Kerajaan hari ini akan terus dijadikan teras dalam pentadbiran pasukan saya.

“Kepada Prasarana, teruskan usaha bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus terpelihara dan sejahtera,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram