nafkah anak beza agama
Sekadar Gambar Hiasan

Menyentuh soal perbezaan agama dalam urusan pemberian nafkah, adakah ia menjadi penghalang seorang anak terhadap kedua ibu bapanya, menurut Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam, Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Azizah Mohd ia bukanlah penghalang bagi ibu bapa mendapatkan nafkah daripada anak-anak.

Majoriti ulama yang terdiri daripada imam Hanafi, Maliki, Syafie, dan satu pandangan dalam mazhab Hanbali berpendapat, anak-anak yang beragama Islam tetap wajib memberikan nafkah kepada ibu bapa mereka, walaupun kedua-duanya bukan beragama Islam.

Hal ini berdasarkan nas al-Quran dalam surah Luqman: 15, “Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya dan bergaullah dengan mereka di dunia ini dengan baik.”

Berdasarkan ayat di atas, Dr. Azizah berkata, dalam apa jua keadaan sekalipun, Islam agama yang membawa keharmonian dan mementingkan ukhuwah Islamiah tidak akan menjadi pemisah untuk anak berbakti kepada ibu bapanya. Meskipun berbeza akidah, tetapi aliran darahnya tetap mengalir laju di tubuh setiap anak. Dan atas dasar itu, mereka dituntut untuk terus berbuat baik kepada kedua orang tuanya.

Tidak salah pun berbuat baik kepada kedua ibu bapa, malah Nabi s.a.w pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh imam Muslim, yang diriwayatkan oleh Abu Amru asy-Syaibani dia berkata,

“Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab, “Solat pada waktunya.” Aku bertanya, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.” Saya bertanya, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, “Jihad di jalan Allah.”

Nafkah Kaum Kerabat

Di Malaysia, undang-undang yang terpakai ke atas orang Islam ialah undang-undang Islam yang diperuntukkan dalam Akta atau Enakmen Negeri-negeri. Secara umumnya, undang-undang yang berkaitan dengan nafkah ibu bapa tidak diperuntukkan secara khusus.

Namun terdapat peruntukan nafkah kaum kerabat secara umum dalam enakmen negeri. Sebagai contoh, seksyen 61 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:

“Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seseorang lain jika dia tidak upaya sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada orang yang pertama tersebut itu, adalah munasabah memerintahkan sedemikian.”

Walau beza agama namun tanggungjawab anak kepada kedua ibu bapanya tetap wajib dilaksana

Dr. Azizah memberitahu peruntukan yang sedia ada sebenarnya tidaklah terlalu khusus kepada nafkah ibu bapa, tetapi termasuk juga nafkah kepada ahli keluarga yang lain. Ia berbeza dengan peruntukan undang-undang yang ada di negara Islam lain, khususnya di Timur Tengah.

Peruntukan nafkah ibu bapa lebih terperinci dan jelas. Contohnya, di Kuwait terdapat beberapa peruntukan undang-undang khusus berkaitan nafkah ibu bapa seperti, Seksyen 201 Undang-undang Keluarga Kuwait 1984 yang memperuntukkan:

“Wajib atas anak yang berkelapangan, lelaki atau perempuan, membiayai nafkah kedua-dua ibu bapanya, datuknya dan neneknya, walaupun berbeza agama atau kemampuan bekerja. Sekiranya bilangan anak ramai, maka kewajipan nafkah atas mereka mengikut kelapangan mereka.”

Selain Kuwait, terdapat juga negara lain yang memperuntukkan perkara sedemikian, seperti Jordan, Qatar, dan beberapa negara di Asia Tenggara, contohnya di Filipina, Taiwan, Singapura dan India.

Justeru dalam hal ini Dr. Azizah menyatakan, sudah tiba masanya Malaysia memperuntukkan undang-undang yang lebih khusus terhadap nafkah ibu bapa. Ini bagi mengelak berlakunya kes-kes pengabaian terhadap ibu bapa sekali gus menunjukkan kepada dunia  bahawa  kita adalah negara Islam secara praktikal. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLink