Tidak berapa lama dahulu, sewaktu kunjungan ke muzium seorang figura terkenal di Danau Maninjau Sumatera Barat, salah seorang kurator sempat menunjukkan sebongkah batu di tapak asal muzium yang tidak dapat dialihkan. Walau pelbagai usaha dilakukan sama ada dengan jentera berat atau bahan letupan, namun batu itu masih kekal elok tanpa sedikit pun terjejas. Seolahnya ia tidak mahu dipindah atau dialihkan.

Begitu juga ketika kunjungan ke Madinah dalam lawatan umrah beberapa tika dahulu. Di hadapan hotel penginapan terdapat sebongkah besar batu yang hampir menyamai tinggi bangunan satu tingkat. Juga gagal dimusnahkan sekalipun di kelilingi oleh pembangunan yang pesat.

Kewujudan tentang batu, atau pokok yang tidak dapat dialih, dihancur atau ditebang bukanlah sesuatu yang baru. Ia sudah berlaku sejak berkurun lama dahulu di banyak tempat di dunia. Sebilangan besar masyarakat percaya antara sebab batu tersebut kukuh dan tidak dapat dihancurkan kerana wujudnya sesuatu makhluk di alam ghaib yang mendiami kawasan tersebut.

Bagi mereka, itu kawasan keramat dan mempunyai kuasa ghaib yang mampu memudaratkan sesiapa sahaja, terutama yang cuba untuk merosakkan atau mengalihkannya. Setiap kali usaha memindahkan cuba dilakukan setiap kali itu juga terjadi insiden dan kecelakaan.

Manakala bagi masyarakat Melayu, mereka percaya di situlah terletaknya istana singgahsana golongan jin. Dan lebih dukacita, sebilangan kecil dari mereka menjadikan batu-batu tersebut sebagai alat pemujaan atau perkara-perkara khurafat sehingga menghakis akidah dan keimanan kepada Allah S.W.T.

Inilah sebenarnya helah yang cuba dilakukan oleh golongan jin dan iblis untuk menyesatkan manusia, begitu kata Dr. Jahid Hj. Sidek al-Khalidi Pengasas & Pakar Pusat Rawatan Islam Manarah sewaktu diminta pandangannya.   

Tambahnya, memang tidak dapat dinafikan dalam dunia ini terdapat begitu banyak perkara yang luar biasa, yang tidak dapat diterima dek akal yang sihat. Antara perkara luarbiasa yang terjadi seperti yang kita bincangkan ini iaitu batu atau pokok yang tidak dapat dimusnahkan.

Sekalipun menggunakan bahan letupan atau jentera berat, ia tetap jua tidak memberi kesan walau sedikit pun. Bahkan yang lebih teruk, terjadi pula insiden kecelakaan apabila mereka cuba mengalihkannya.

Beza Dari Allah Atau Syaitan

Secara dasarnya dalam Islam, perkara luarbiasa yang terjadi ini boleh kita bahagikan kepada dua jenis iaitu yang datang dari Allah atau keduanya datang dari tipu daya jin dan syaitan. Apa yang penting dalam situasi ini, kita perlu pandai membezakan mana satu yang datangnya dari Allah atau yang datang dari golongan jin.

Pernah satu ketika, di kalangan masyarakat awam, ada yang bertanya kepada ulama besar iaitu Syeik Abdul Qadir tentang perbezaan antara perkara luarbiasa yang datang dari Allah atau yang datang dari tipu daya jin.

Jawab Syeikh Abdul Qadir, apa jua yang datang dari Allah itu berlaku secara mendadak. Mendadak yang dimaksudkan ialah berlaku secara tiba-tiba tanpa diketahui masa ia akan berlaku.

Contoh yang mudah seperti seseorang yang boleh terapung di udara atau berjalan di atas air. Orang yang mengalami situasi ini sendiri tidak tahu bagaimana ia boleh terapung di udara atau berjalan di atas air kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa ia rancang atau programkan. Bukan dia sahaja yang tidak tahu bahkan sesiapa pun jua tidak akan tahu.

Seperti juga mukjizat Nabi s.a.w. apabila keluar air dari celah-celah jari Baginda. Kelebihan ini juga tidak diketahui oleh Nabi. Apa sahaja mukjizat waima keramat pun tidak diketahui bila akan berlaku.

Dalam satu kisah pernah satu ketika sedang Saidina Umar r.a. membaca khutbah, tiba-tiba ia diperlihatkan oleh Allah dengan gambaran seorang jeneral Islam bernama Sariah yang menghadapi bahaya. Lalu tanpa ia sedar secara spontan ia berteriak,

“Wahai Sariah, jaga-jaga dengan bukit di hadapan mu.” Peliknya, Sariyah juga turut mendengar amaran dari Umar r.a. walaupun ia tidak berada di depan mata. Akan tetapi kebolehan Umar r.a. hanya sekadar itu sahaja.

Selain itu, apabila datangnya dari Allah ia bukan menjadi sifat kebolehan seseorang. Ia juga tidak akan hilang tanpa sebab contohnya batu tergantung di Qubbatus Sakhra. Lihat sahaja sehingga kini ia masih kekal selagi mana Allah menghendakkan ia kekal.

Seperkara lagi, ia berlaku bukan waktu tertentu tetapi berlaku pada waktu-waktu yang Allah kehendaki. Maksudnya di sini kita tidak boleh menentukan bila ia akan berlaku, hanya dengan kehendak Allah sahaja perkara luarbiasa ini berlaku. Begitu juga apabila datang dari Allah ia tidak serupa dan boleh berubah-ubah dengan ketentuan Allah.

Jelas Jahid lagi, sebaliknya jika perkara itu berkait dengan tipu daya jin, ia berlaku dalam jangkaan, diketahui bila akan berlaku dan itu menjadi sifat kebolehannya. Dalam keadaan ini, dia dan semua orang tahu akan kelebihannya. Bukan itu sahaja, bahkan dia turut dikenali dengan kebolehannya yang luar biasa.

Selain itu, ia juga boleh datang dan hilang dengan sebab tertentu contohnya seseorang yang kebal kerana azimat. Dalam masa yang sama apabila ia tidak mempunyai azimat, kebolehan kebalnya akan hilang pula.

Begitu juga kebolehan atau perkara luarbiasa berlaku dalam waktu tertentu seperti seseorang yang boleh mengubatkan dalam waktu tertentu, contohnya hanya waktu malam. Tetapi dalam waktu yang lain ia tidak boleh pula mengubat. Inilah perkara-perkara luarbiasa yang kita boleh bezakan antara datangnya dari Allah atau datangnya dari tipu daya jin.

Sesungguhnya jin dan dan syaitan adalah makhluk Allah yang paling lemah berbanding manusia. Namun disebabkan kebergantungan manusia kepada jin dan syaitan melebihi rasa kebergantungan kepada Allah menyebabkan jin dan syaitan dilihat lebih berkuasa dari manusia.

Kedua makhluk ini telah Allah berikan kemampuan untuk menggoda dan menyesatkan manusia dengan apa juga cara, kerana itu Baginda s.a.w. selalu mengingatkan agar sentiasa berpegang kepada al-Quran dan Sunnah. Itulah panduan manusia supaya tidak sesat dalam kehidupan dunia ini.

Walau bagaimanapun mengulas tentang batu yang tidak boleh dialihkan di Madinah, menurutnya lagi, terdapat dua kemungkinan dalam situasi ini. Ia samada dari malaikat atau dari tipu daya jin.

Baginya, bumi Madinah adalah bumi yang cukup barakah. Dalam sejarah sebelum diturunkan manusia ke dunia, terdapat tempat-tempat yang menjadi pilihan Allah sebagai tempat suci bagi para malaikat beribadah kepada Allah seperti bumi Mekah iaitu Masjid al-Haram. Oleh itu tidak mustahil jika batu yang ada itu datangnya dari Allah atau para malaikat.

Di Palestin sendiri terdapat juga batu yang luarbiasa datangnya dari Allah iaitu batu tergantung di dalam bangunan Qubbatus Sakhra atau Masjid Kubah Emas. Keajaiban batu tergantung ini dikisahkan ketika Baginda s.a.w. ingin naik ke Sidratul Muntaha dalam peristiwa Israk Mikraj.

Pada saat Baginda s.a.w. menaiki tunggangan Buroq untuk ke langit, batu yang dipijak Baginda s.a.w. terangkat dan ingin mengikuti Baginda. Namun Baginda s.a.w. telah menghentakkan kakinya pada batu itu supaya berhenti mengikut Baginda s.a.w. lalu batu itu tergantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya melainkan langit daripada jatuh ke bumi.

Berpeluang melihat secara lebih dekat keadaan batu tersebut, memang benar batu itu wujud dan terletak ditengah-tengah bangunan. Gambarannya jika dilihat dari bawah seperti sebuah payung yang besar atau bumbung gua. Keluasan di bawah batu tersebut boleh memuatkan hampir dua hingga tiga puluh orang.

Meskipun begitu keajaibannya tergantung antara langit dan bumi tidak lagi terlihat kini  kerana telah dikonkritkan sekali dengan dinding bangunan masjid Kubah Emas yang menjadikan batu ini seperti atap bangunan jika dilihat dari bawah.

Antara sebab mengapa batu ini dikonkrit atau disimenkan sekali dengan bangunan masjid, kerana dibimbangi batu ini akan jatuh secara tiba-tiba lalu menimpa para pelawat yang berada di bawahnya. Ini antara perkara luarbiasa yang diperlihatkan Allah kepada manusia.

Namun dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh menafikan tentang kemungkinan yang kedua iaitu dari tipu daya jin atau syaitan. Walaupun Madinah bumi barakah, namun masih terdapat juga golongan jin mendiami kawasan tersebut. Lalu tidak mustahil ini juga angkara dari jin.

Cara Musnahkan Jin

Berkongsi lanjut tentang cara menghapuskan jin yang melakukan tipu daya melalui situasi ini, Jahid menyatakan tidak sukar untuk memusnahkan jin. Apa yang perlu adalah memusnahkan jasadnya sahaja.

Walaupun jasad jin lembut halus dan tidak kelihatan seperti angin tetapi tindak balasnya dapat diketahui disebabkan jasadnya yang panas. Oleh sebab jasadnya yang seperti angin, maka untuk memusnahkan jasad jin perlu menggunakan benda-benda yang serupa iaitu gas.

Ia sama halnya jika ingin memusnahkan gas oksigen di udara perlu menggunakan gas yang lebih hebat tindakbalasnya seperti gas beracun. Apabila gas beracun dilepaskan di udara bukankah gas-gas oksigen disekelingnya akan musnah hingga menyebabkan kita tidak boleh bernafas.

Justeru itu, tubuh jin yang halus boleh dimusnahkan dengan gas yang kuat seperti formic asid.  Sekiranya ia disemburkan di udara atau di sekeliling batu dan terkena pada tubuh jin sudah tentu ia akan musnah.

“Ini berdasarkan pada pengalaman saya sepanjang melibatkan diri dalam perubatan ini. Selain dari formic asid, boleh juga menggunakan lada hitam yang dibacakan dengan ayat-ayat ruqyah. Kita rejam pada sekeliling batu tersebut, Insya’ Allah batu yang sukar dialih dapat di angkat” tegas Jahid.

__________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLink