KATA Allahyarham P. Ramle `Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pulak suami isteri’. Perselisihan faham sering berlaku, tetapi terpulanglah pada pasangan tersebut mengikis rasa tidak puas hati dengan mengambil iktibar perkara baik-baik yang telah mereka lalui supaya rumah tangga kekal bahagia. 

Sebaliknya jika setiap rasa tidak puas hati dan benci dibiarkan bersarang di dada, sudah pasti akan lahir rasa marah yang sentiasa membara dan akhirnya menyala membakar hati dan jiwa setiap pasangan tersebut.” Demikian pandangan Dina ketika menghubungi penulis. 

“Apa yang saya lahirkan ini bukan dengan niat mengumpat tetapi untuk menyedarkan peranan kita kaum wanita khususnya, jangan simpan perasaan tidak puas hati terhadap suami dan mencurigai keluarga suami, terutama ibu mentua. Lebih teruk, jangan kedekut dengan mentua. 

“Selagi tertanam perasaan bencikan keluarga suami, maka selagi itulah kita sentiasa tidak puas hati terhadap suami dan apa juga tindakannya. Yang rugi kita sendiri. Akibat daripada sikap inilah menyebabkan hubungan suami isteri menjadi tegang, kurang mesra dan sentiasa mencurigai suami. 

“Abang saya kahwin dengan gadis sama daerah, cuma berlainan kampung. Kata emak, baguslah senang kalau balik kampung. Emak tak pernah menolak apa juga pilihan anak-anaknya. Pada emak, asalkan anak bahagia, emak lagi bahagia.

“Tetapi malangnya emak dapat menantu yang bukan sahaja tidak bertimbang rasa, malah menyimpan perasaan mencurigai suami sendiri, selain cuba sedaya upaya suami menuruti kehendaknya. 

“Pada mulanya saya tak tahu dan tak sedar sebab lepas kahwin saya ikut suami. Begitu juga abang, lepas kahwin dia bawa isteri duduk ke KL. Jadi kalau berjumpa pun biasanya abang saja yang balik rumah, isteri dan anak-anak tak datang kerana sibuk. Alasannya anak-anak kecil dan susah nak bergerak. Emak tak kisah, menantu tak datang pun tak jadi hal. 

“Perangai kakak ipar saya ini, Ziehan Namanya, terbongkar bila saya diajak abang datang ke KL bekerja dengannya, sebab ketika itu saya sudah bercerai. Abang tahu saya boleh menjahit, katanya di kampung atau di KL sama aja tapi bezanya di KL upah jahit lebih tinggi daripada  kampung. Tertarik dengan pujukan abang, saya buat keputusan berhijrah. 

“Kata abang kalau di KL duduk rumah dia. Tapi Kak Ze tak suka. Mulanya saya tak tahu, dah duduk seminggu baru saya tahu, bila Kak Ze terus terang kata dia tak suka saya duduk rumahnya. Katanya inilah perangai abang saya, buat keputusan tak pernah tanya dia, semua ikut kata hati dan selera dia saja. Lagi dia benci bila abang belikan dua buah mesin jahit, satu untuk jahit, sementara satu lagi mesin jahit tepi. 

“Terkejut saya. Lantas saya kata, saya akan pindah kalau ada rumah sewa di kawasan sekitar. Dengan izin Allah, saya ternampak iklan rumah sewa. Terus saya minta izin abang nak keluar. Abang tak bagi, tetapi saya bagi alasan, rumah abang susah orang nak datang buat tempahan. Saya tak ceritakan Kak Ze tak suka saya anak beranak duduk rumahnya. 

Kak Ze cukup marah bila abang belikan saya dua buah mesin jahit.

“Alhamdulillah bila berpindah rezeki saya bertambah. Ada pulak anak-anak gadis di kawasan sekitar datang minta kerja ambil upah jahit sembat, dan ada yang nak belajar menjahit. Saya rasa ini peluang baik. Saya buka kelas jahit, maka bertambah lagi rezeki saya. 

“Rupanya Kak Ze mencuri rahsia. Dalam diam dia ambil seorang pelajar saya bekerja di kedai runcitnya. Sebenarnya kedai runcit itu milik abang, dia upah pekerja uruskan, tapi Kak Ze control semua. Control maksud saya, pendapatan hasil jualan Kak Ze ambil, tapi sewa kedai, bil utiliti, gaji pekerja dan belian barang-barang abang kena bayar.

“Bila abang suruh bayar gaji pekerja, dia buat pekak, akhirnya abang yang kena bayar. Begitu juga bil utilit. Kerana tak kuasa bertengkar, abang bayar semua. Abang tak mahu pening kepala sebab abang ada bisnes lain yang memerlukan dia uruskan sepenuh masa.            

“Bab pekerja berhenti memang perkara biasa, sebabnya gaji lewat bayar. Abang sibuk, dan Kak Ze tak mahu keluar duit untuk bayar gaji, semua tunggu abang. Duit jualan dia simpan. Cerita ini terbongkar bila pelajar saya beritahu. Cerita yang sama juga bila anak saudara sepupu kami masuk kerja, dia pun berhenti sebab lewat dapat gaji. 

“Sebelum berhenti, pelajar saya beritahu banyak surat-surat saya Kak Ze buka dan baca. Lepas baca dia tutup balik sebelum bagi pada saya. Ada yang dibuang terus. Pelik sungguh sanggup dia buka surat saya sebab sebelum pindah rumah saya guna alamat rumah abang. 

“Paling kurang seminggu sekali saya perlu turun KL beli barangan keperluan menjahit, benanglah, zip, kain, dan macam-macam. Suatu hari saya jumpa Kak Ze, nak pinjam van abang. Kak Ze cakap kunci tak ada entah mana. Puas saya cari pun tak jumpa. Kerana keperluan mendesak, banyak benda nak beli, saya terpaksa naik bas, balik dalam hujan lebat. 

Nak pinjam van pun Kak Ze kedekut, teraksa saya naik bas pergi beli barang-barang menjahit dan balik dalam hujan.

“Esok bila saya melintas depan rumahnya, Kak Ze kata kunci tu dalam kocek jubahnya dia tak perasan. Saya tak jawab sebab ini bukan kali pertama dia berbohong. Dulu masa saya duduk rumahnya, dia suruh saya hantar ambil anak-anaknya ke sekolah. Sampai rumah dia terus minta kunci, alasannya takut hilang, tapi sebenarnya dia takut saya guna van ambil anak saya di tadika. Dia suruh saya pergi ke tadika jalan kaki. 

“Sebenarnya apa juga perbuatannya pada saya, saya masih boleh sabar. Saya insaf saya miskin, ibu tunggal yang dipandang hina kerana tak berduit. Tapi jangan sombong dan hina emak saya. Saya sedih. Pernah Kak Ze kata pada emak kalau beli barang kat kedainya, semua kena bayar, barang ni bukan dapat free, semua guna duit. Emak tahu dia memang kena bayar. Bukan kali pertama emak beli barang di kedainya. 

“Nak jadi cerita, suatu hari emak ke kedainya, tapi tak sedar harga ikan, beras, beras pulut dan kelapa parut naik mahal. Duit emak bawak tak cukup. Bila nak bayar pada Kak Ze, sindiran Kak Ze memang tajam. Jadi emak baliklah ke rumah saya ambil duit lagi. Allah sedihnya. Saya menangis, sampai hati Kak Ze buat kat emak. 

“Saya pun kena. Suatu hari saya dengan anak berjalan nak tunggu bas, Kak Ze panggil, katanya anak saya ambil gula-gula 20 sen tak bayar lagi. Terkejut saya. Tanpa banyak soal saya terus bayar.

“Pernah juga dia marah abang saya sebab pergi hantar barang belian saya ke rumah sebab  saya sibuk menjahit. Anak lelaki saya jinjing barang nak bawa balik, tetapi abang kata dia nak hantarkan. Depan anak-anak saya abang kena marah. Mereka mengadu pada saya. Sedih. Tapi abang tetap hantar juga, sebab anak-anak saya masih kecil. 

“Pernah juga abang suruh saya bawa emak datang ke rumahnya. Rumah kami tak berapa jauh. Rupanya abang beli makanan kegemaran emak dan suruh makan bersama keluarga. Lepas makan masa berbual, abang bawa keluar beg pakaian miliknya bagi pada emak. Kata abang, beg ini kuat dan besar senang emak datang naik kapal terbang, semua benda masuk dalam beg tak payah nak pegang kecuali beg tangan. Memang cantik. Mak suka sangat. 

“Tetiba Kak Ze kata, `Heiii!! Kan dulu abang bagi kat saya, kenapa bagi pada emak? Mana boleh, bagi emak beg lain.’’ Kami semua terdiam, abang tersandar tak terkata. Kak Ze terus ambil beg pakaian tersebut masuk biliknya.       

Kak Ze memang kedekut taik idung masin, 20 sen pun berkira.

“Itu bab benda, bab makan lagi teruk. Kak Ze tak pernah jemput emak datang makan di rumahnya bila dia tahu emak turun KL. Tapi kalau emak atau adik-beradik Kak Ze datang, Kak Ze masak macam-macam.

“Oleh kerana anak saudara duduk menumpang rumah saya dan dia pandai masak, dia cadang pada saya kongsi berniaga nasi kerabu dan nasi berlauk, dan dia akan jual. Lokasinya tepi jalan depan kedai kak Ze. Memang laku. 

“Tapi Kak Ze tak suka. Katanya pelanggan datang beli nasi nanti akan menyusahkan pelanggan dia nak berheti kereta dan motor beli barang di kedainya sebab jalan sempit dan sesak. Anak sauddara saya buat pekak sebab nak cari duit. Lagi pun abang galakkan kami berniaga. Tetapi kalau setiap hari kena leter, kena sindir, bila beli barang untuk jualan dia buat tak layan dan lambat-lambatkan, akhirnya kami buat keputusan berhenti berniaga. 

“Perbuatan Kak Ze memang menyakitkan hati, tapi saya tak mengadu pada abang sebab kami tak mahu mereka bertengkar dan bergaduh suami isteri. Akhirnya saya buat keputusan pindah ke tempat lain. Abang marah sebab pelanggan saya dah ramai, kenapa pindah. Saya beri alasan dapat rumah flat empat tingkat, tapi saya dapat tingkat bawah senang nak berniaga, pelanggan senang datang, sementara rumah yang saya sewa ni pemilik nak jual dan mahal. Jadi saya kena pindah. 

“Saya memang masak dengan perangai kedekut Kak Ze. Bila saya berhenti berniaga, dia pulak suruh anak saudaranya berniaga nasi yang sama, di tempat sama. Sementara itu dia buka kedai jahit dan upah orang Indon menjahit sebab dia tak bagi saya ambil mesin jahit, itu hak dia. 

“Tapi niat tak betul, Allah lebih tahu. Niaga nasi tak laku, akhirnya tutup. Sama juga kedai jahit dia. Tak untung sebab tukang jahit bawa lari pelanggan. Akhirnya kedai terpaksa tutup sebab bil utiliti dan sewa mahal tak mampu nak bayar. 

“Pada pandangan saya, sebagai isteri kita tak boleh kawal suami jika suami nak beri duit pada emaknya, atau nak tolong saudara-maranya, sebab kalau kita faham benar-benar agama, tugas anak lelaki paling utama selain jaga anak-anaknya, dia mesti jaga ibu bapanya, adik-beradiknya. Tempat keempat baru datang isteri. Bukan isteri tempat teratas. 

“Dari segi logiknya pula, isteri mendapat suami setelah suami itu bekerja. Siapa yang berkorban membesarkan, beri pelajaran dan mendidik si anak itu semasa kecil dan remajanya, bukankah ibu bapanya. Kalaulah si anak lelaki itu tak ada kerja tentulah tak ada wanita yang mahukan dia, tetapi emak tetap terima anaknya dalam susah senang anaknya. 

“Janganlah pulak lepas kahwin, si isteri terus pisahkan suami dengan emaknya. Sebenarnya ini banyak berlaku dalam masyarakat kita, si isteri tak faham fungsi isteri sebenar. Kata mereka lepas kahwin suami jadi milik dia sepenuhnya dan suami tak boleh berbaik, apa lagi beri emaknya duit dan bantu adik-beradiknya. Ini yang salah. 

Seorang isteri tidak boleh pisahkan suami dengan ibunya, atau tolong ibu bapa dan adik-beradiknya.

“Sebab itu kita dengar banyak kes perceraian bila suami mengumpat isterinya kerana dia tak suka perangai isterinya. Sikap orang lelaki dia suka simpan, tak suka bercakap. Akhirya kerana kebencian yang meluap-luap dia mencari orang lain sebagai ganti. Jadi kaum wanita mesti periksa diri sendiri sebelum diganti oleh orang lain. 

“Tapi tak sama dengan kes saya. Saya bercerai sebab saya tak sanggup bermadu, kerana saya tahu pendapatan suami tak banyak pasti dia tak mampu tanggung dua keluarga. Jadi biarlah saya berkorban demi kebahagiaannya. Lagi pun saya tak suka bergaduh. Kalau dah tak suka saya lagi, cerai baik-baik, kita tak sakit hati. Suami cuma dipinjamkan sementara oleh Allah. Dia lebih tahu.’’ Demikian cerita Dina tentang perangai kakak iparnya terhadap suami dan mentuanya. 

Oleh: MAIMUNAH YUSOF

——————————————

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam