Pulau Pinang menjadi tumpuan pelancong antaranya kerana hidangan nasi kandar yang cukup popular di negeri itu./ Gambar hiasan

BARU-BARU ini semasa hendak ke utara, singgah masuk sekejap ke Pulau Pinang. Tujuannya hendak mencari nasi kandar. Seorang rakan yang tinggal tidak jauh dari Rumah P. Ramlee, mencadangkan supaya makan nasi kandar di sebuah restoran di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam.

Dengan menggunakan penunjuk jalan Waze, 30 minit kemudian ditemukan restoran itu yang terletak memang di bawah sebuah flat. Memang mencari parkir di kawasan flat itu agak susah. Tetapi akhirnya ada joki kereta membantu menunjukkan parkir kosong.

Jam masa itu sudah 12 tengah hari, tetapi di restoran itu orang sudah beratur panjang. Adalah dalam 20 orang dalan barisan. Dan di dalam restoran itu ramai juga sedang menjamu selera bersilih ganti.

Ada yang memesan makanan untuk makan di kedai dan ramai juga yang tapau. Bila diamati, yang datang untuk makan nasi kandar di restoran itu kebanyakan ialah pelawat dari luar Pulau Pinang. Barangkali orang Pulau Pinang tidak hairan dengan nasi kandar.

Selepas 30 minit, sampailah giliran memesan makanan. Dipesan satu potongan ikan goreng, seekor sotong berisi telur, sayur kobis dan separuh telur asin. Dipesan juga papadom dan secawan teh tarik. Harga semuanya RM17.

Nasi kandar di restoran ini bolehlah diberikan tiga bintang walaupun disenaraikan sebagai restoran nombor satu atau dua dalam senarai 10 atau 20 restoran nasi kandar terbaik di Pulau Pinang.

Ditanya seorang rakan kenapa diberi tiga bintang, jawapannya bau karinya tidak melekat di jari, saya berjenaka. Mesti diingat nasi kandar ini sedapnya pada gulai atau kuahnya. Ramai menyatakan gulai nasi kandar tidak menggunakan santan dan menggunakan rempah giling.

Gulai nasi kandar juga dikatakan dimasukkan serbuk kas-kas iaitu diambil dari biji bunga popi atau nama saintifiknya ‘Papaver Somniferum’. Dari bunga popi inilah dihasilkan candu dan kas-kas. Sebab itu ada yang mengatakan nasi kandar ni macam nasi ganja. Sekali makan akan ketagih hendak makan lagi atau terus mengantuk.

Sebab itu nasi kandar ia tidak lengkap jika tidak dicampur dengan pelbagai gulai atau sekurang-kurangnya tiga atau empat jenis kuah seperti gulai ikan, gulai daging, gulai kambing, gulai sotong, kuah masak kicap dan gulai kurma daging.

Sebenarnya ada lagi restoran nasi kandar yang sedap-sedap masakan gulai dan lauk pauknya. Ia bergantung kepada selera tekak masing-masing. Sebab itu restoran nasi kandar ini popular mengikut selera dan pilihan masing-masing.

Ketika hendak keluar Pulau Pinang, sengaja lalu pekan Pulau Tikus. Didapati sebuah restoran nasi kandar di hadapan balai polis di situ, barisan orang yang beratur lagi panjang sehingga ada polis kereta peronda yang berhenti di tepi jalan menggunakan pembesar suara untuk menasihati para pelanggan menjaga jarak S.O.P. Covid-19.

Begitu juga apabila melalui hadapan restoran-restoran nasi kandar yang popular berhampiran Masjid Kapitan Keling, di Lebuh Chulia dan di Penang Road, orang ramai semuanya beratur panjang menunggu giliran untuk masuk makan nasi kandar.

Sebenarnya restoran nasi kandar bukan sahaja terdapat di Pulau Pinang sahaja malah juga di bandar-bandar besar lain seperti Ipoh dan Kuala Lumpur. Di luar Pulau Pinang juga pelanggan kerap kena beratur untuk makan nasi kandar.

Gabungan pelbagai jenis kari menjadikan nasi kandar cukup istimewa dalam kalangan penggemarnya./ Gambar hiasan

Ada beberapa restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman cukup terkenal dan popular dalam kalangan peminat nasi kandar. Memang restoran-restoran ini sudah lama beroperasi.

Ada restoran nasi kandar yang mengakui nasi kandarnya yang pertama beroperasi dari zaman Tanah Melayu lagi hingga di dalam restorannya dipamerkan kayu galang kandar dengan dua periuk nasi dan gulainya untuk buktikan sudah lamanya mereka berniaga.

Tetapi tidak ramai juga yang tahu rupanya ada kedai nasi kandar yang dikendalikan atau masakannya disediakan oleh peniaga Melayu dan bukan kebiasaannya mamak. Salah satunya terdapat di Keramat dekat Taman Setiawangsa.

Dan satu lagi merupakan gerai jualan tepi jalan di sebelah Medan Selera Taman Setiawangsa, yang memang iklan gerainya menyatakan menjual Nasi Kandar Melayu.

Restoran yang di Keramat itu, kerap juga pelanggannya kena beratur. Rasa nasi kandar dan kuah campurnya serta lauk pauk seperti ayam goreng, ayam gulai, daging gulai, telur sotong dan ikan, sayur kobis sedap macam restoran nasi kandar mamak. Harganya pun berpatutan.

Sebenarnya perniagaan makanan restoran adalah adalah satu industri ekonomi yang besar pada negara jika kena gaya mempromosinya. Negara-negara seperti Jepun, Itali, Thailand, Indonesia, Perancis, dan banyak lagi negara, terkenal kerana makanan tempatannya.

Pelancong berderu-deru ke negara-negara berkenaan kerana makanannya dan mudah mendapat tempat makan. Di Tokyo, tidak susah mencari restoran Jepun kerana ia ada di ceruk-ceruk lorong, di besmen bangunan atau di tingkat-tingkat bangunan, menghidangkan pelbagai jenis masakan tempatan yang enak.

Budaya orang Malaysia pun sekarang gemar makan di luar. Sebab itu apabila negara dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan dimansuhkan, kedai-kedai makan kembali hidup dan ceria semula.

Rantaian makanan atau ‘food chain’ dalam negara akan pulih semula dan berputar laju jika ia pesat berkembang. Ramai yang akan dapat nikmat, dari pembekal makanan mentah seperti petani, nelayan, pemborong, hingga ke penyedia pengangkutan, peralatan keperluan industri, penawaran pekerjaan sampai budak Grab mendapat upah menghantar makanan.

Penggemar makanan sanggup berjalan jauh untuk pergi ke restoran kegemaran mereka atau mencari tempat-tempat makan yang menarik dan menawarkan makanan yang sedap. Kita ada dengar kisah orang kaya memesan nasi kandar dengan naik helikopter untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Ada juga kalangan mereka yeng berkereta dan bermotosikal besar sanggup memandu dari KL ke Pulau Pinang, Temerloh, Melaka dan beberapa lagi lokasi jauh semata-mata untuk makan makanan kegemaran mereka seperti nasi kandar, ikan patin atau asam pedas, dan terus balik ke KL.

Terdapat juga pihak yang berusaha membawa makanan popular negeri-negeri tertentu ke Kuala Lumpur dengan kenderaan bagi memenuhi permintaan penggemarnya.

Baru-baru ini juga timbul kisah pelanggan yang dikenakan bayaran tinggi bagi harga lauk ikan siakap di Pulau Langkawi dan sotong di Pulau Pinang. Bagi sesetengah pihak harga yang dikenakan oleh restoran yang terlibat ini adalah tidak menasabah atau tidak berpatutan.

Ada juga pihak yang boleh menerima harga sedemikian tinggi atas sebab-sebab tertentu. Dahulu di Kampung Baru ada sebuah restoran ikan patin yang mengenakan harga tinggi bagi ikan patinnya kerana dakwanya ikan patin yang dihidangkan ialah ikan patin liar dan bukan peliharaan. Bukan senang untuk menangkap ikan patin liar.

Tetapi penggemar ikan patin tetap ke restoran tersebut walaupun bilnya beratus-ratus ringgit untuk seorang dua makan masakan ikan patinnya. Ada juga yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit semata-mata hendak belanja rakan-rakan makan ikan patin di restoran itu.

Kita tentu ingat semasa bulan Ramadan, ramai yang suka berbuka puasa di hotel-hotel besar dan lima bintang hingga sanggup membayar RM200 satu kepala sampai tidak cukup tempat di hotel. Padahal masa berbuka tidak pun boleh makan banyak. Tidak ada siapa yang komplen.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ada menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan bagi memastikan pekedai tidak mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

Bagi mereka yang berasa teraniaya bolehlah mengadu kepada pihak berkenaan. Untuk dua kes tadi di Pulau Langkawi dan Pulau Pinang, pihak berkuasa telah bertindak menyiasat aduan orang ramai.

Pendek kata dalam hal makan ini pandai-pandailah memilih seperti kata orang tua-tua ‘tepuk dada tanya selera’.

Datuk Zakaria A. Wahab merupakan bekas Ketua Pengarang Bernama 2014-2019. Mula menyertai Bernama sebagai wartawan pada 1980. Berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1992 hingga 2003 sebagai Penolong Setiausaha Akhbar dan kemudian Setiausaha Akhbar.
Pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Biro Bernama Pulau Pinang, Sarawak dan Koresponden Singapura selain sebagai Pengarah Eksekutif anak syarikat teknologi maklumat Bernama Systems and Solutions Advisor (Bessar) yang kini dipanggil UXERA
.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram