PROSES perbincangan antara Pas-UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) akan berdepan kesukaran jika segelintir kepemimpinan parti berkenaan masih mengamalkan sikap seperti ‘abang long,’ kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Kalau sentiasa jadi abang long susahlah, Pas sangat terbuka kerana objektif kita besar ke arah muafakat politik melibatkan seluruh parti berteraskan orang Melayu dan Islam sekali gus dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.
Bagimanapun, katanya, Pas akan meneruskan pendekatan rundingan bagi merealisasikan hasrat parti itu menyatukan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam sebarang bentuk kerjasama politik.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ahmad Samsuri berkata, parti itu tidak akan berputus asa sebaliknya, berjiwa besar untuk meneruskan agenda penyatuan ummah yang menjadi perjuangan Pas selama ini.
“Saya optimis kalau kita berusaha, semua pihak boleh duduk berunding dan berbincang ke arah kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, Marang hari ini.
Beberapa hari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, mereka menolak MN yang hanya melibatkan UMNO dan parti itu saja dan menyifatkan gabungan seperti itu sebagai “terbelenggu”.
Katanya, PAS hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional (PN). – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

